Apa kata PM Anwar mengenai penurunan OPR?

Perdana Menteri berkata, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus adalah langkah berhemah dan proaktif di tengah ketidaktentuan ekonomi global.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun sektor eksport berdepan cabaran, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif sokongan termasuk Skim Jaminan Pembiayaan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan penerokaan pasaran baharu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan reformasi di bawah Ekonomi MADANI terus mengukuhkan daya tahan negara apabila kadar inflasi sehingga Mei 2025 turun ke 1.2 peratus, terendah dalam 51 bulan.

Malah, tambahnya, kadar penyertaan tenaga buruh pula mencecah rekod 70.8 peratus.

“Kita mesti terus mara dalam reformasi merencana masa depan negara kerana di sebalik cabaran, ada ruang untuk maju disandarkan tatakelola lebih baik, inovasi berani dan semangat juang yang utuh,” katanya dalam satu hantaran di media sosial rasmi Perdana Menteri.

Terdahulu, BNM dalam satu kenyataan berkata, imbangan risiko terhadap unjuran pertumbuhan masih cenderung ke arah penurunan, terutama disebabkan oleh perdagangan global yang perlahan, sentimen yang lemah, serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.

“Walaupun ekonomi domestik berada pada landasan yang kukuh, ketidaktentuan yang berterusan dalam perkembangan luaran boleh menjejaskan prospek pertumbuhan Malaysia.

“Oleh itu, pengurangan OPR ini adalah langkah awal yang bersifat berjaga-jaga untuk mengekalkan laluan pertumbuhan yang stabil bagi Malaysia dalam keadaan jangkaan inflasi yang sederhana.

“MPC akan terus berwaspada terhadap perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko terhadap unjuran pertumbuhan serta inflasi dalam negara,” menurut BNM.

BACA JUGA Padah hantar mesej ‘x’ kepada remaja, CEO Batu didakwa kes amang seksual bukan fizikal esok