Rekrutmen terus doktor oleh Singapura: Isyarat jelas perlunya reformasi kesihatan negara

Dr A Lingeshwaran

Saya memandang serius tindakan Kementerian Kesihatan Singapura yang bakal mengadakan temu duga terbuka di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur untuk merekrut doktor-doktor Malaysia secara langsung, dengan tawaran pakej tahunan sebanyak RM385,000 berserta penginapan dan pelbagai faedah tambahan. Tawaran ini secara realistiknya akan mempercepatkan penghijrahan doktor kita ke luar negara.

Lebih mengejutkan, syarat kelayakan telah dilonggarkan. Kini, semua graduan perubatan Malaysia boleh memohon tanpa perlu melalui sebarang peperiksaan kelayakan seperti sebelum ini. Kos sara hidup di Singapura, terutamanya sewa rumah, turut ditanggung. Maka, tawaran ini amat menarik – khususnya kepada doktor-doktor muda kita yang masih mencari hala tuju dalam sistem domestik.

Sebagai bekas Pengarah Hospital Sungai Bakap dan kini Senator, saya akui isu ini bukan baru. Ia telah berakar sejak bertahun-tahun. Namun, saya percaya di bawah Kerajaan MADANI yang dipimpin oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini adalah masa yang paling sesuai untuk kita melakukan reformasi menyeluruh terhadap ekosistem kerjaya doktor di Malaysia.

Ramai petugas kesihatan – dari doktor muda hinggalah ke pakar – percaya bahawa pentadbiran hari ini lebih prihatin, lebih terbuka mendengar suara mereka. Tetapi keprihatinan itu mesti diterjemah segera kepada pelaksanaan, bukan sekadar janji.

Apa jadi dengan elaun on-call dan kenaikan elaun pakar yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2025? Sudah masuk bulan Julai, tetapi masih belum dilaksanakan. Ini menjejaskan keyakinan doktor terhadap sistem. Sedangkan negara jiran bertindak pantas dengan tawaran menarik, kita pula masih terikat dengan birokrasi dan ketidaktentuan pelaksanaan.

Saya juga dimaklumkan bahawa hampir 40% graduan dari RCSI & UCD Malaysia Campus di Pulau Pinang memilih untuk menjalani latihan siswazah mereka di Ireland dan UK, bukannya di hospital awam Malaysia. Ini petanda jelas bahawa doktor-doktor muda kita sedang hilang keyakinan terhadap sistem sedia ada.

Statistik menunjukkan lebih 6,400 pegawai perubatan meletakkan jawatan dari tahun 2019 hingga 2023. Ini bukan lagi kebocoran kecil – ini gelombang yang mengancam daya tahan sistem kesihatan awam negara.

Saya ulangi: Ini bukan isu gaji semata-mata. Ini isu kepercayaan terhadap sistem. Doktor-doktor muda mahukan kepastian, sokongan, dan masa depan yang stabil. Tanpa pembaharuan struktur yang menyeluruh dan segera, kita bakal kehilangan lebih ramai tenaga profesional yang berkualiti tinggi.

Kini adalah masanya untuk bertindak. Kita harus menghargai doktor kita bukan sahaja dengan kata-kata, tetapi dengan tindakan. Reformasi perlu dilaksanakan – bukan ditangguh.


Senator Dr A Lingeshwaran ialah senator Pulau Pinang.