Dua kru kini kritikal, KPN jawab dakwaan guna helikopter lama
Helikopter yang terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah ketika latihan Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM 2025) pagi tadi, menyebabkan dua daripada lima kru kini berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan.
Tiga yang lain pula berada dalam keadaan stabil.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata, kelima-lima mereka menerima rawatan segera dengan bantuan doktor pakar di Hospital Sultanah Aminah (HSA) sejurus selepas insiden berlaku.
“Alhamdulillah, pertolongan bantuan doktor pakar yang ada di HSA ini, saya percaya kita dapat memberikan rawatan yang terbaik kepada mereka.
“Daripada lima kru dalam helikopter itu, dua agak kritikal kerana memerlukan bantuan pernafasan dan yang lain dalam keadaan stabil,” katanya menurut laporan media tempatan hari ini.
Ketika ditanya adakah helikopter milik PDRM itu antara aset lama, beliau berkata, ia bukan satu masalah asalkan dijaga dengan baik.
“Aset lama tidak jadi masalah jika semua dijaga dengan baik, penyelenggaraan dan sebagainya.
“Kejadian itu sesuatu yang di luar kawalan kita. Kita buat sesuatu yang baik bukan saja untuk PDRM, tetapi untuk rakyat semua,” katanya.
Beliau hadir ke HSA bagi melawat lima mangsa yang terbabit dalam insiden itu yang mana tiga daripadanya adalah anggota Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua lagi anggota Balai Polis Tanjung Kupang.
BACA JUGA Lain macam cadangan MB Kedah kurangkan risiko nahas di Sungai Korok