Kenyataan Hamzah dikutuk teruk oleh netizen, ini je ke ketua pembangkang
Desakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil cuti susulan isu pelantikan hakim dilihat hanya mengundang kutukan netizen.
Rata-rata menempelak Timbalan Presiden Bersatu berkenaan yang mencadangkan pelantikan seorang Perdana Menteri Interim kononnya demi menjaga integriti institusi kehakiman negara.
Menjengah ke ruang komentar Facebook rasmi Hamzah, warganet antara lain mempersoal kualiti pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu sebagai Ketua Pembangkang.
Malah, ada yang menyifatkan Ahli Parlimen Larut tersebut sebagai Ketua Pembangkang paling lemah sejak negara ini mencapai kemerdekaan.
“Kes saman je pun,” komen Muhammad Nur.
“Kes sivil saja. Di mahkamah jenayah bukti pun tiada. Apa punya ketua pembangkang,” tempelak Kamarul Ariffin.
Ada juga secara sinis menyarankan Hamzah yang dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Ambil cuti lantik ketua pembangkang jadi PM?” kata Mohd Ridzuan.
“Kalau Anwar turun ganti dengan saya (Hamzah)… PMXI,” perli Mohd Yusoff Ramli.

Semalam, Hamzah dalam satu kenyataan rasmi berkata, cadangan supaya Anwar mengambil cuti bagi menghilangkan prejudis terhadap proses pelantikan hakim baharu.
Menurutnya, dalam masa sama langkah itu dapat menepis persepsi umum yang mengaitkan beliau terlibat dalam menentukan kumpulan hakim berkenaan.
Dalam tempoh cuti Anwar, jelasnya, seorang Perdana Menteri Interim boleh dilantik bagi menjalankan tanggungjawab menguruskan negara, khususnya di bawah Perkara 122B.
Kenyataan Hamzah yang kemudian dihujani kecaman dan sindiran itu muncul Ketika pembangkang pada masa ini dilihat dalam ‘mood’ kempen Turun Anwar.
Permintaan supaya Anwar bercuti adalah taktik politik pembangkang untuk menimbulkan keraguan terhadap ketelusan sistem pelantikan kehakiman.
Walhal, dalam proses pelantikan hakim, Perdana Menteri tidak terlibat secara langsung dalam pemilihan Ketua Hakim Negara memandangkan cadangan datang daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) serta pelantikan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.
Justeru, dari segi undang-undang dan prosedur, tiada keperluan formal untuk Anwar bercuti, dan tuduhan campur tangan langsung belum disertakan bukti kukuh.
Persepsi tidak sama dengan bukti dan setakat ini, tiada pelanggaran yang nyata dibuktikan oleh pihak pembangkang.
BACA JUGA Tak betul dakwaan ‘jalan-jalan’, lawatan kerja PM lonjak pelaburan asing