Johari jalankan tugas, fungsi Menteri Sumber Asli

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani diberi tanggungjawab menjalankan tugas dan fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Jemaah Menteri, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata perkara itu dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dimaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 Julai lalu.

Tanggungjawab baharu Johari itu susulan peletakan jawatan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam pada 28 Mei lalu.

Peletakan jawatan itu berkuat kuasa pada 4 Julai 2025 dan Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa bercuti bermula 29 Mei hingga 3 Julai 2025.

Nik Nazmi menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat berikutan beliau gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR dalam pemilihan parti komponen Kerajaan Perpaduan itu.

Beliau mulanya dilantik ke dalam Jemaah Menteri sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada Disember 2022 hingga Disember 2023.

Seterusnya, sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam pada mulai Disember 2023 hingga Julai 2025.

BACA JUGA Bapa Ketua Pemuda UMNO kembali ke rahmatullah