PM interim: Azli Yusof sekolahkan Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin
Ahli parlimen Shah Alam Azli Yusof telah menyekolahkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkenaan peruntukan perlembagaan berhubung pelantikan perdana menteri interim kerana logik yang digunakannya adalah logik orang gila kuasa.
“Dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Perdana Menteri daripada kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan.
“PM interim hanya dilantik bila jawatan PM kosong.
Contohnya PM letak jawatan, PM meninggal dunia atau pun PM hilang sokongan majoriti.
“Kalau memegang jawatan dan hanya bercuti, beliau masih lagi PM yang sah dan tiada keperluan untuk lantikan baharu.
“Dalam amalan pentadbiran Malaysia dan Westminster, jika PM bercuti atau berada di luar negara, hanya seorang menteri kanan atau timbalan perdana menteri akan menjalankan tugas-tugas PM.”
Dua hari lalu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyarankan agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercuti dan perdana menteri interim dilantik.
Azli turut menjelaskan contoh amalan yang dibuat oleh pentadbiran sebelum ini.
“Tun Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri, tidak pernah diganti dengan PM interim. Pada tahun 2020, ketika Mahathir letak jawatan, beliau dilantik sebagai PM interim sementara menunggu Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai PM.
“Muhyiddin pula dilantik sebagai PM interim hanya selepas beliau hilang sokongan dan meletak jawatan dalam 2021.
“Kesimpulannya tidak ada dalam undang-undang atau amalan negara kita untuk melantik PM interim bila PM hanya bercuti sementara. Itu bukan logik perlembagaan, itu logik orang gila kuasa.
Azli menyifatkan saranan Hamzah sebagai kaedah politik murahan kerana Hamzah ahli parlimen pembangkang tahu mereka tidak cukup angka untuk turunkan PM dan gulingkan kerajaan di Parlimen.
“Jadi mereka cuba buat naratif seolah-olah negara dalam krisis dan perdana Menteri perlu diganti, kononnyalah.
“Rakyat bukan mudah untuk diperbodohkan. Fakta tetap fakta. PM tak letak jawatan. Tiada kekosongan jawatan, tiada undi tidak percaya, maka tiada keperluan untuk PM interim.
BACA JUGA: Berita baik untuk petugas kesihatan, lebih 80,000 petugas terkesan sebelum ini