‘Gantung Rafizi dan kumpulan wakil rakyat yang desak kerajaan tubuh RCI’

Seramai 19 ketua cabang PKR Johor mahu Sembilan Ahli Parlimen yang mendesak kerajaan, menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai pelantikan hakim dan dakwaan campur tangan dalam institusi kehakiman, digantung.

Ini kerana tindakan Ahli Parlimen tersebut melanggar disiplin dan etika parti, malah memberi tanggapan buruk terhadap kepimpinan perdana menteri serta membuka ruang kepada manipulasi politik pihak lawan.

“Sehubungan itu, kami dengan tegas menyeru Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh agar segera menggantung keahlian sementara semua sembilan Ahli Parlimen terlibat,” katanya dalam kenyataan bersama, lapor FMT.

Kenyataan tersebut disokong ketua cabang Mersing, Bakri, Pengerang, Seri Gading, Sembrong, Ayer Hitam, Muar, Iskandar Puteri, Pasir Gudang, Tebrau, Pontian, Kluang, Parit Sulong, Tanjung Piai, Pagoh, Segamat, Kota Tinggi, Labis, dan Pulai.

Mereka mendesak Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh memulakan siasatan tatatertib ke atas sembilan MP tersebut.

Sembilan MP tersebut ialah Rafizi Ramli (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa); Rodziah Ismail (Ampang); Wong Chen (Subang); Zahir Hassan (Wangsa Maju); Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau); Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang); S Kesavan (Sungai Siput); dan Onn Abu Bakar (Batu Pahat).

Ketua-ketua cabang berkenaan menegaskan bahawa semua Sembilan MP berkenaan melangkaui batas disiplin dan kod etika parti.

“Tindakan tegas ini penting demi memelihara kewibawaan parti, memulihkan semula disiplin organisasi, dan mengelakkan persepsi buruk yang boleh menjejaskan perpaduan PKR secara keseluruhan.

“PKR tidak boleh menjadi parti yang longgar dalam soal tatakelola dan kesetiaan institusi dari kalangan anggotanya,” kata mereka.

BACA JUGA: PM interim: Azli Yusof sekolahkan Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin