Selepas berbasikal di Tasik Putrajaya, Tun M kini berehat di IJN

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengayuh basikal secara ‘tandem’ di Tasik Putrajaya sejauh kira-kira sembilan kilometer pagi tadi.

Lapor BH, pemimpin berusia 100 tahun itu dimasukkan ke IJN kira-kira jam 10 pagi tadi, menurut pembantu Dr Mahathir, Sufi Yusoff.

Jelasnya, doktor memaklumkan keadaan Tun M stabil, selain mengarahkan pemimpin berkenaan berehat.

Menurutnya lagi, pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu dijangka dibenarkan keluar dari IJN petang ini.

Terdahulu, Tun M dilapor meninggalkan program ‘Picnic & Potluck’ lebih awal pagi tadi, selepas dilaporkan mengalami keletihan.

Sebelum itu, bekas Ahli Parlimen Kubang Pasu selama 30 tahun berkenaan melakukan kayuhan sejauh kira-kira lapan hingga sembilan kilometer.

Beliau kemudiannya dilihat keletihan dan duduk berehat di kerusi seketika sebelum menuju ke meja sarapan yang disediakan.

Semakan Harapandaily mendapati, Tun M sekurang-kurangnya sudah 12 kali dirawat di IJN sejak 1999 hingga hari ini.

Mantan Presiden UMNO itu juga telah menjalani dua pembedahan pintasan koronari pada 1989 dan 2007.

BACA JUGA MB Pas ini rupanya tunggu Tun M kayuh basikal