Trump dapat tekanan dalaman apabila negara luar bersatu hadapi tekanan tarif

Media Amerika kini mula menekan Donald Trump dengan melaporkan tekanan yang diterima Amerika Syarikat selepas Presiden mereka mengenakan tarif yang tinggi ke atas negara luar.

New York Times melaporkan, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak sekutunya dalam ASEAN dan negara sahabat meningkat dagangan sesama mereka dan mengenepikan Amerika.

“Di seluruh dunia, alat yang pernah digunakan untuk menjana pertumbuhan kini digunakan untuk menekan, mengasingkan dan membendung,” kata Anwar pada perhimpunan pemimpin ASEAN minggu lalu. 

“Sambil kita mengharungi tekanan luar, kita perlu mengukuhkan tapak kita. Berdagang sesama kita. Melabur lebih dalam satu sama lain,” kata beliau.

Media asing itu melaporkan, negara-negara seperti Korea Selatan, Brazil, India, Indonesia, dan Vietnam mula mengubah haluan perdagangan dan diplomasi mereka, kerana pendekatan AS yang makin sukar.

Mereka mencari alternatif baru untuk melindungi ekonomi dan kepentingan masing-masing.

Contohnya Presiden baharu Korea Selatan, Lee Jae Myung, telah menghantar wakil khas ke Australia dan Jerman bagi membincangkan isu pertahanan dan perdagangan, selain merancang misi diplomatik ke beberapa negara lain.

India dan Brazil turut mengumumkan rancangan untuk meningkatkan perdagangan dua hala mereka sebanyak 70 peratus, mencecah AS$20 bilion.

Indonesia pula menyatakan perjanjian perdagangan bebas bersama Kesatuan Eropah (EU) yang bakal memansuhkan sebahagian besar tarif kini hampir dimuktamadkan.

Di Vietnam, timbalan menteri perdagangan menekankan usaha negaranya untuk mengurangkan kebergantungan terhadap Amerika dengan mengoptimumkan perjanjian dagangan sedia ada.

“Apabila semakin banyak negara merasakan sukar untuk memenuhi tuntutan Amerika Syarikat, minat mereka untuk bekerjasama dengan negara lain akan semakin meningkat,” kata Naib Presiden Asia Society.

BACA JUGA Bukan perkara luar biasa, jawatan Ketua Hakim Negara pernah kosong 19 hari