Dua bulan selepas subsidi dikurangkan, bekalan telur masih stabil, cukup
Bekalan telur ayam di pasaran kekal stabil dan mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat, meskipun kadar subsidi telah dikurangkan sebanyak lima sen sejak 1 Mei lalu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkembangan itu menunjukkan sistem pengeluaran telur negara berada dalam keadaan kukuh dan tidak terjejas dengan perubahan subsidi.
“Ini membuktikan bahawa langkah pengurangan subsidi yang dilaksanakan kerajaan tidak menjejaskan rantaian bekalan telur ayam, malah menunjukkan keupayaan sistem pengeluaran tempatan yang semakin mampan dan berdaya tahan,” katanya dalam perkongsian di Facebook hari ini.
Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, harga telur ayam di pasaran berjaya distabilkan selepas negara mengalami kekurangan bekalan pada penghujung 2022.
Pada ketika itu, kerajaan memperkenalkan pelbagai langkah kecemasan termasuk import telur dari luar negara dan pemberian subsidi harga kepada penternak.
Apabila kapasiti pengeluaran tempatan semakin pulih dan mencukupi, kerajaan secara beransur-ansur mengurangkan pergantungan kepada import dan menyesuaikan semula kadar subsidi mengikut keperluan semasa.
BACA JUGA Terpalit penyalahgunaan dadah paling teruk, apa kata kerajaan Kelantan?