Tiada gas pemedih mata tapi aiskrim diagih penghilang dahaga

Tiada gas pemedih mata seperti biasanya dialami peserta dalam siri perhimpunan sebelum era kerajaan MADANI.

Sebaliknya, agihan aiskrim menyambut peserta Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman yang dipanah bahang terik di Putrajaya hari ini.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengagihkan lebih 100 mangkuk aiskrim berperisa coklat dan air mineral kepada peserta yang berjemur semasa unjuk rasa itu.

“Kami sediakan lebih 100 aiskrim dan juga air mineral untuk peserta perarakan hari ini,” kata seorang kakitangan PMO, dipetik Malaysiakini.

Aiskrim itu diagihkan ketika sejumlah peguam sedang berucap kepada para peserta di bulatan berhadapan pintu masuk utama PMO.

Perhimpunan anjuran Badan Peguam Malaysia itu turut dihadiri Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dengan berkumpul di pekarangan Istana Kehakiman sebelum berarak ke PMO.

Anak sulung Perdana Menteri berkenaan juga bersama peserta dilihat memegang plakad yang tertera ungkapan “Pertahankan kebebasan kehakiman” dan “Walk the talk, judicial independence” (Tunjukkan melalui tindakan, kebebasan kehakiman).

Bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dilapor menggesa siasatan dibuat terhadap dakwaan wujudnya campur tangan dalam kehakiman.

Menurutnya, dakwaan itu dikuatkan lagi dengan laporan polis yang dibuat pembantu seorang hakim, selain dakwaan kebocoran dokumen yang dikatakan sebagai minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

BACA JUGA Apandi anggap desakan penubuhan RCI pelantikan hakim sebagai melucukan