Kontroversi eHati: Menteri Agama harap dua saksi hadir esok

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Na’im Mokhtar berkata, dua individu yang terbabit dalam penganjuran program eHati akan hadir ke Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) esok.

Beliau mengesahkan Bahagian Penguatkuasaan JAIS telah memanggil kedua-duanya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan ajaran Islam atau doktrin songsang yang dilaporkan berlaku di negeri itu.

“Esok JAIS bahagian penguatkuasaan akan panggil kedua-dua saksi tersebut dan kita tunggulah esok.

“Setakat ini saya boleh cakap bahawa siasatan itu telah dimulakan dan kita harap saksi-saksi akan hadir pada hari esok,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pra Pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-65 di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam masa sama, beliau dimaklumkan bahawa kedua-dua individu terbabit kini dilihat agak keberatan untuk hadir memberikan keterangan kepada pihak berkuasa agama negeri.

Sebelum ini, dilaporkan pihak berkuasa sudah memulakan siasatan terhadap pasangan suami isteri, didakwa terbabit dalam program motivasi rumah tangga (eHATI) berunsur syirik dan tidak senonoh.

Kedua-duanya didakwa menyebarkan ajaran sesat dan menyasarkan golongan wanita bekerja serta berdepan krisis rumah tangga.

Terdapat bekas ahli program itu mendedahkan pengisian eHati itu berselindung di sebalik program keluarga bahagia, seni cinta rumah tangga dan motivasi kepada wanita.

Mengulas lanjut, Na’im berkata, siasatan JAIS adalah berdasarkan peruntukan Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah Selangor berkaitan ajaran atau doktrin palsu.

Jelasnya, Bahagian Penguatkuasaan JAIS turut bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melihat kemungkinan berlakunya pelanggaran undang-undang sivil dalam kes menggemparkan itu.

Na’im turut menyeru semua individu yang mempunyai maklumat atau menjadi saksi untuk membantu JAIS dalam siasatan tersebut secara profesional agar keadilan dapat ditegakkan.

BACA JUGA Apandi anggap desakan penubuhan RCI pelantikan hakim sebagai melucukan