Mat Sabu rasmi benih padi baharu, matang 99 hari, tahan penyakit
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini merasmikan varieti Padi Clearfield baharu MR CL3 dan MR CL4 di Pusat Benih Padi FELCRA, Seberang Perak.
Beliau berkata, varieti tersebut bukan sekadar benih biasa tetapi hasil usaha gigih dan kesabaran selama lebih 20 tahun melibatkan kerjasama antara MARDI dan BASF.
“MR CL3 dan MR CL4 ini matang lebih awal (99 hari), tahan penyakit, dan mampu menghasilkan lebih 7 tan sehektar.
“Ini khabar baik buat pesawah kita, khususnya dalam menangani ancaman seperti padi angin,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mohamad menegaskan bahawa jaminan makanan adalah benteng pertama maruah negara dengan menyebut keadaan yang berlaku di Palestin pada masa ini.
“Apabila bekalan makanan disekat, rakyat menjadi mangsa kebuluran. Yang lebih menyedihkan, dunia yang kononnya memperjuangkan “hak asasi manusia” tiba-tiba membisu seolah-olah nyawa rakyat Gaza tidak bernilai. Inilah hipokrasi dunia.
“Sebab itu Bang Mat katakan, usaha kita hari ini, membangunkan varieti padi baharu, membantu pesawah, mengawal harga beras, adalah sebahagian daripada jihad kecil kita,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, jihad kecil itu supaya Malaysia tidak tunduk pada krisis luar, dan rakyat negara ini tidak menjadi mangsa dalam dunia yang semakin tidak menentu.
“Kita di Malaysia mesti terus berdikari. Manfaatkan sepenuhnya tanah yang ada,” serunya.
Sehubungan itu, beliau yang juga Presiden AMANAH mengucapkan terima kasih kepada FELCRA, MARDI dan semua pihak yang bekerja siang malam demi menjayakan agenda keterjaminan makanan negara.
“Teruskan usaha. Kukuhkan jaminan makanan. Ingat, makanan bukan sekadar keperluan. Ia adalah lambang kedaulatan,” tambah beliau lagi.
BACA JUGA Kerajaan Madani hakikatnya setuju pertahan kebebasan kehakiman, sebab itu Nurul Izzah hadir