Siapa bakal isi jawatan Ketua Hakim? Nampaknya bukan Terrirudin

Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh bukan calon yang akan mengisi kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara, menurut seorang ahli parlimen Pakatan Harapan.

Ahli parlimen yang tidak mahu dinamakan itu berkata perkara itu diberitahu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perjumpaan PM dengan ahli-ahli parlimen PH.

“Kita diberitahu bahawa nama Terrirudin tiada dalam senarai yang akan dipersembahkan kepada Agong,” katanya, lapor NST.

Nama Terrirudin juga tiada dalam senarai calon Presiden Mahkamah Rayuan atau Ketua Hakim Malaya.

Perkara ini menjadi isu kerana timbul spekulasi bahawa Terrirudin merupakan antara calon yang akan mengisi kekosongan jawatan Ketua Hakim ekoran daripada persaraan wajib Tun Tengku Maimun Tun Mat pada 2 Julai.

Terrirudin kini hakim Mahkamah Persekutuan. Beliau pernah menjadi Peguam Negara ke 12.

Mantan timbalan presiden PKR Rafizi Ramli dan lapan lagi ahli parlimen mendesak kerajaan agar mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan di dalam pelantikan hakim.

Pihak polis pula sedang menyiasat berkenaan kebocoran minit mesyuarat Jawatankuas Pelantikan Kehakiman (JAC).

BACA JUGA: Guna kuasa dengan kebaikan, PMX atur langkah