PKR Putrajaya buat laporan polis terhadap Harakah

Satu laporan polis dibuat terhadap Harakah Daily selepas didakwa menyiarkan artikel berbaur hasutan untuk mempromosikan protes terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut FMT, laporan itu dibuat PKR Putrajaya, menggesa siasatan dibuat terhadap artikel tersebut dan himpunan yang akan dilakukan, yang didakwa mengandungi unsur hasutan kepada orang ramai.

“Kami menggesa pihak polis menyiasat artikel dan perhimpunan yang dirancang itu di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan (kerana melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen) atau mana-mana undang-undang yang bersesuaian,” kata Timbalan PKR Putrajaya, Shariff Jeev.

Setakat ini sebanyak 52 laporan polis telah dibuat di seluruh negara dengan enam laporan telah dibuat hari ini.

Beliau berkata, protes yang dirancang pada 26 Julai itu berpotensi menjadi ancaman kepada keamanan dan sistem demokrasi berparlimen.

BACA JUGA Pelantikan hakim: Nama terpalit kontroversi tidak dipersembah kepada Majlis Raja-Raja