Selepas ugut kenakan tarif 32 peratus, Trump anggap ‘perjanjian yang hebat’
Selepas mengugut Indonesia dengan kadar tarif sebanyak 32 peratus, Presiden Donald Trump berkata, Amerika Syarikat (AS) telah mencapai perjanjian perdagangan dengan negara jiran Malaysia itu.
Trump malah menyifatkan ia sebagai perjanjian yang hebat untuk kedua-dua pihak.
“Perjanjian yang hebat, untuk semua pihak, baru sahaja dimeterai dengan Indonesia.
“Saya berunding secara langsung dengan Presiden mereka yang sangat dihormati.
“BUTIRAN AKAN MENYUSUL!!!” kata Trump semalam dalam satu hantaran di Truth Social.
Untuk rekod, Indonesia adalah rakan dagang kelima AS di Asia Tenggara berdasarkan data import dari republik yang mempunyai 286 juta penduduk itu.
Minggu lalu, Trump bertegas untuk mengenakan kadar tarif sebanyak 32 peratus terhadap Indonesia yang dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Ogos.
Presiden AS yang kerap mencetuskan huru-hara global dengan ketidakstabilan peribadinya itu turut menghantar ‘ugutan’ serupa kepada beberapa rakan dagang bulan ini.
Ia termasuk Kanada, Jepun dan Brazil, dengan menetapkan kadar tarif menyeluruh antara 20 peratus hingga 50 peratus, termasuk tarif 50 peratus ke atas kuprum.
Selain Indonesia, Trump telah mencapai perjanjian perdagangan dengan tiga negara lain iaitu China, United Kingdom (UK) dan Vietnam sejak melancarkan dasar tarif yang dikritik dunia sebagai tidak waras dan membahayakan ekonomi global itu.
BACA JUGA Cuba ‘tunggang’ perarakan peguam, Pemuda Pas dinasihat konvoi motor saja