Penyokong mudah termakan hasutan, politik kebencian memakan diri PN
Oleh NORMAN RADZUAN
Pasal demonstrasi ini sejak 1998 saya sudah lakukan. Waktu itu setiap minggu berdemonstrasi.
Kadang-kadang tanpa disedari yang berdiri di sebelah kita SB. Kadang-kadang kena kejar, kadang-kadang kena tembak gas pemedih mata, air dan macam-macam lagi.
Dataran Merdeka, Bukit Bintang, Kampung Baru dan Sogo adalah lokasi pada hari minggu sambil melaungkan Reformasi.
Ketika itu, kita lawan rejim Mahathir sebab bukan setakat rakyat dipukul, malah seorang mantan Timbalan Perdana Menteri dipukul sampai pengsan.
Kenapa saya kata jangan halang demonstrasi? Pertama, sebab ia adalah hak rakyat untuk mengadakan perhimpunan aman atau ‘peaceful assembly’.
Kedua, tidak akan jatuh kerajaan walau sejuta manusia dikumpulkan di jalan raya.
Lagipun, sejak wujud Kerajaan Perpaduan ini sudah banyak demonstrasi dilakukan. Jadi, biarkan sahaja sebab yang bijak pandai kena tenang bahawa ia hanyalah permainan politik sahaja.
Apabila pihak kerajaan atau polis berikan kerjasama atau menjaga keselamatan peserta, tiga hingga empat jam selesailah himpunan dengan aman.
Anggaplah ia menghidupkan ekonomi peniaga-peniaga kecil dan besar di Kuala Lumpur.
Kecewa dan bosan
Tahukah anda pengalaman saya berpuluh tahun berdemonstrasi, apabila tiada gangguan provokasi pihak berkuasa, kami peserta demonstrasi sangat kecewa.
Rasa macam bosan sungguh berhimpun berjam-jam di tengah panas.
Keseronokkannya, apabila ada gas pemedih mata, semburan air dan dikejar sana-sini seperti macam main police entry one two jaga.
Percayalah kata saya jika himpunan ini aman, jam 2 petang mula, jam 6 petang berakhirlah.
Pengakhirnya, Anwar tetap PM, Zahid dan Fadhilah tetap TPM. Biarlah mereka nak maki hamun.
Jangan gundah dan gelisah. Lagipun, ia bukan suara rakyat Malaysia tetapi hanya suara Melayu yang termakan hasutan perkauman.
Percayalah, andai mereka berjaya kumpulkan 50,000 peserta (tentu mereka claim 200,000), hanya 5% kaum Cina dan 5% kaum India.
Barangkali 1% kaum-kaum lain. Jadi, ia bukan suara rakyat Malaysia sepertimana himpunan Bersih suatu ketika dahulu.
Himpunan Bersih mereka tidak mainkan isu perkauman kerana kehadiran pelbagai kaum. Mereka fokus isu subsidi, cukai, tarif elektrik, hakim dan konon harga barang mahal.
Mudah dibohongi
Walaupun subsidi, cukai SST dan tarif elektrik kita telah jelaskan dengan fakta dan data tetapi ia tetap dimainkan pembangkang.
Begitu juga halnya, walaupun harga barang jauh lebih rendah tetapi tanpa fakta, mereka tetap kata harga barang mahal.
Mungkin ramai tertanya-tanya, jika murah, mengapa pemimpin mereka berani berbohong? Jawapannya mudah,sebab pemimpin mereka tahu tahap pemikiran penyokong mereka mudah dibohongi.
Mana ada orang berani berbohong jika tahu orang di sekelilingnya bijak. Sebab itu, dahulu di India, British tidak mahu anak-anak tempatan ke sekolah. Calon YB Sungai Bakap mereka ada ISO pun, mereka percaya, inikan harga barang.
Tauke-tauke besar yang terkena SST dan tarif elektrik tidak turun tetapi mereka memperhambakan rakyat marhaen melalui orang politik membuli pemikiran rakyat.
Dalam erti kata lain, orang miskin yang tidak terkena SST dan tarif elektrik memperjuangkan nasib orang kaya… lucu tetapi itu terjadi di Malaysia.
Bezanya, dulu para reformis ke jalan raya sebab lawan korupsi, lawan kezaliman, lawan salah guna kuasa.
Berbeza ketika ini, Perdana Menteri tidak korup, tidak zalim (demonstrasi Bar Council dilayan dengan aiskrim) dan yang penting ketika ekonomi semakin baik.
Malah, mengapa perlu suruh ‘Anwar Turun’ sebab buat pertama kalinya seorang Perdana Menteri membenarkan keabsahan dirinya sebagai Perdana Menteri dicabar di Parlimen.
Malangnya, di Parlimen yang boleh menurunkan Anwar berlandaskann undang-undang tidak mahu dilakukan pimpinan PN.
Sebenarnya, yang penting PMX fokus kerajaan ini dengan baik. Begitu juga pimpinan yang ada, dalam tempoh 24 bulan fokus bekerja untuk rakyat. Jaga sefahaman baik bersama Sarawak dan Sabah.
Sarawak ada 31 kerusi, DAP ada 44, PKR dan AMANAH ada 40, UMNO 30 ia sudah lebih mencukupi membentuk kerajaan.
Yang pasti, parti-parti Sabah akan menyokong Kerajaan Perpaduan sekali lagi jika kita mencapai jumlah kerusi yang mencukupi membentuk kerajaan.
Sebenarnya menggunakan persepsi kebencian kaum memakan diri PN kerana mereka terlupa demografi kaum di negara ini. Kaum Cina 90% pasti menolak parti yang anti mereka.
Kaum India 70% juga menolak parti perkauman. Sabah dan Sarawak 90% pasti menolak untuk bersama Pas yang dianggap parti anti kaum lain dan hanya fokus kepada orang Melayu.
Mudah matematiknya, jaga sahaja kerjasama erat ini. Penyokong pembangkang dilihat ramai sebab mereka aktif di media sosial.
Jika benar rakyat bersama mereka, kenapa begitu banyak pilihan raya kecil, mereka tewas? Itu fakta bukan auta.
BACA JUGA Hutang negara diurus baik, pelabur terus yakin