Selepas selamba ‘petik’ nama Majlis Raja-Raja, penyokong Pas ini akui kongsi info tidak sahih
Seorang penyokong tegar Pas menjadi bualan warganet apabila selamba ‘petik’ nama Majlis Raja-Raja berhubung isu pelantikan Ketua Hakim Negara.
Pemilik akaun Facebook, Fais Al-Hajari itu bagaimanapun hari ini mengakui berkongsikan maklumat yang tidak lagi dipastikan kesahihannya.

Semalam, pengusaha pusat bekam itu mendakwa Majlis Raja-Raja telah melucutkan nama Tan Sri Ahmad Terrirudin daripada senarai calon bagi mengisi kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara.
Susulan kecaman warganet kerana dilihat telah menimbulkan pelbagai persepsi, malah mencetuskan fitnah terhadap institusi raja, Fais memberitahu dia “mengaku kekhilafan dan kesilapan” yang dilakukannya.
“Saya harus akui, saya tiada akses terhadap persidangan tersebut. Apa yang saya kongsikan hanyalah dari perbualan-perbualan yang saya tangkap isinya sahaja.
“Silap saya kerana terlalu teruja berkongsikan sesuatu yang tidak pasti walaupun dengan niat bertanyakan kesahihan, dan walaupun perkara itu berkonotasikan positif.
“Namun demikian, saya tidak berniat memfitnah Raja-raja, apatah lagi melemahkan kedudukan mereka,” dalihnya.
Bermula semalam hingga esok, berlangsungnya persidangan Majlis Raja-Raja ke-269 dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj.
Perdana Menteri yang telah mengadakan pertemuan dengan Majlis Raja-Raja pagi semalam berkata, Majlis Raja-Raja dijangka membuat keputusan dan mengumumkan pelantikan Ketua Hakim Negara hari ini.
Mengikut Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong melantik Ketua Hakim Negara atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
BACA JUGA Pembangkang bersorak AS kenakan tarif 19 peratus tapi tak tahu apa digadai Indonesia