Anjur program motivasi ‘songsang’, suami isteri pengasas eHati direman tiga hari
Pasangan suami isteri yang merupakan pengasas program motivasi rumah tangga eHati bersama seorang anak mereka, antara enam individu direman tiga hari berhubung penganjuran acara berunsur lucah pada September tahun lalu.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Ameera Mastura bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengenal pasti kesalahan jenayah berkaitan program motivasi rumah tangga yang didakwa songsang dan terpesong.
Kesemua suspek melibatkan empat wanita dan dua lelaki akan disiasat mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan iaitu berkelakuan tidak senonoh, Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu mengaibkan kehormatan seseorang serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.
Peguam Datuk M Reza Hassan berkata, anak guamnya ditahan oleh polis daerah Shah Alam selepas memberikan kenyataan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya semalam.
Terdahulu, tular satu hantaran daripada seorang pengguna Facebook mendakwa terdapat penganjuran sebuah program yang dipercayai sebagai syirik pada September tahun lalu.
Menurutnya, peserta yang hadir program tersebut semuanya bertudung sebelum terdapat satu sesi khas dikendalikan oleh fasilitator terdiri daripada ahli peringkat tertinggi dalam pertubuhan tersebut dipanggil sebagai ‘Cleopatra’.
Kemudian, diikuti individu yang didakwa sebagai pengasas program tersebut dengan berani menanggalkan pakaian dan menari bersama-sama fasilitator.
Upacara itu dianggap sebagai satu kaedah membuang masalah dengan menanggalkan semua pakaian untuk menyertai aksi tersebut bersama fasilitator.
BACA JUGA Selepas selamba ‘petik’ nama Majlis Raja-Raja, penyokong Pas ini akui kongsi info tidak sahih