Selepas 16 tahun pemergian Teoh Beng Hock, ini usaha tambah baik dilaksana SPRM

Sejak kejadian menimpa mendiang Teoh Beng Hock pada 16 Julai 2009,
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil langkah serius memperbaiki kelemahan dan membina semula kepercayaan rakyat terhadap suruhanjaya itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, beberapa langkah penambahbaikan telah dilaksanakan antaranya mewujudkan Bilik Rakaman Bervideo (VIR) untuk merekod keterangan saksi, suspek dan orang kena tangkap.

“SPRM juga menambah baik Bilik Temu Bual Saksi yang terletak di aras bawah bangunan bagi memudahkan akses dan membolehkan pemantauan yang lebih telus.

“Selain itu, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi tinggi turut ditambah dan diletakkan di lokasi strategik bagi merakam pergerakan semua individu yang hadir ke premis SPRM,” katanya.

Beliau berkata, kompleks SPRM juga kini dilengkapi jeriji besi mengikut garis panduan ditetapkan pihak berkuasa, selain memperkenalkan penggunaan kamera badan (Body Worn Camera – BWC) semasa siasatan dijalankan.

“Teknik soal siasat turut diperkasakan dengan pendekatan model PEACE (Planning, Engage, Account, Closure, Evaluation) yang diguna pakai di United Kingdom, dan kini dikenali sebagai MACC PEACE.

“Teknik ini lebih menekankan kepada aspek keberhasilan dan keselamatan semasa proses siasatan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PM Anwar pada 1 Ogos 2024 bertemu dengan ahli keluarga mendiang Teoh Beng Hock di Putrajaya. Mereka adalah ibu bapanya, Teng Shuw Hoi dan Teoh Leong Hwee serta anak mendiang, Teoh Er Jia dan adik mendiang, Teoh Lee Lan.

Beng Hock, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di bahagian koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan sama.

Mendiang adalah Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan ketika itu, Ean Yong Hian Wah yang pada masa sama merupakan EXCO Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.

Kematian Teoh itu mengundang polemik tentang hak asasi, penyalahgunaan kuasa, dan ketelusan dalam siasatan SPRM sehingga disusuli bantahan dan siasatan peringkat nasional.

Memohon maaf

Dalam masa sama, SPRM menzahirkan perasaan simpati dan memohon maaf kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock atas penderitaan yang telah ditanggung sejak 16 tahun lalu.

Azam berkata, walaupun siasatan terkini oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara tidak menemui bukti mencukupi terhadap mana-mana individu, pihaknya tetap memandang serius insiden berkenaan.

“Insiden ini merupakan titik hitam dalam sejarah SPRM dan telah memberi kesan besar bukan sahaja kepada keluarga mendiang tetapi juga seluruh warga SPRM serta negara.

“Atas dasar keprihatinan, saya ingin menzahirkan rasa simpati dan memohon maaf kepada keluarga mendiang atas penderitaan yang mereka tanggung sepanjang tempoh 16 tahun ini,” katanya.

Menurutnya, SPRM turut mengiktiraf semua hasil siasatan berhubung kes itu termasuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 2011, keputusan Mahkamah Rayuan pada 2014 serta siasatan terkini oleh PDRM.

Jelasnya, kerajaan sebelum ini membayar pampasan sebanyak RM600,000 kepada keluarga mendiang, selain tambahan RM60,000 untuk menampung kos guaman sebagai penyelesaian penuh di bawah Seksyen 7 dan 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956.

“Sebagai tanda keprihatinan, SPRM juga bersedia memberi sumbangan ihsan kepada keluarga mendiang bagi tujuan kebajikan dan perbelanjaan pendidikan anak mendiang, dalam jumlah yang akan ditentukan kelak,” katanya.

BACA JUGA Selepas selamba ‘petik’ nama Majlis Raja-Raja, penyokong Pas ini akui kongsi info tidak sahih