Keseimbangan Raja-Raja Melayu
OLEH LIYANA MARZUKI
Aristotle pernah berkata, bentuk pemerintahan yang paling stabil ialah pemerintahan campuran.
Bukan monarki mutlak. Bukan suara rakyat semata. Bukan juga diperintah golongan elit tanpa sempadan.
Sebab jika kuasa hanya pada seorang Raja, maka berisiko menjadi tirani.
Jika hanya pada segelintir elit, maka wujud oligarki yang menjaga kepentingan kelompok sendiri.
Dan jika hanya pada rakyat tanpa had, maka akan jadi mob rule. Keputusan dibuat bukan berdasarkan hikmah atau keadilan, tapi tekanan massa dan emosi tanpa sempadan.
Itu sebabnya Aristotle percaya, kuasa perlu diagih dan saling imbang. Monarki, aristokrasi dan demokrasi perlu saling kawal, bukan saling tunduk.
⸻
Malaysia pada asasnya dibina atas semangat ini. Kita ada Raja-Raja Melayu yang berperlembagaan. Kita ada Perdana Menteri yang dipilih rakyat. Kita ada institusi profesional yang berfungsi sebagai semak dan imbang. Masing-masing dengan peranan.
Tapi sejarah kita juga menunjukkan, bila salah satu kuasa jadi terlalu dominan, sistem jadi tempang.
Zaman Kesultanan Melayu dahulu, what the King says, goes. Tiada semak dan imbang. Dia buat suka hati.
Sampai lah kita merdeka. Kita tukar sistem kepada Raja Berperlembagaan. Raja masih disanjung, tapi kuasa mentadbir negara diberi kepada pemimpin yang dipilih rakyat.
Namun begitu, sejarah berulang dengan wajah berbeza. Kuasa PM pula semakin membesar, sehingga hampir tidak boleh disentuh. Kes VK Lingam adalah contoh. Di bawah PM terdahulu, pelantikan Ketua Hakim pun menjadi urusan eksekutif semata. Malaysia ini dia yang punya.
Ini yang diwarisi. PM jadi powerful sekali. Ini dinamakan mutlaknya demokrasi. Sudah jadi mob ruling.
Lihat Amerika hari ini. Demokrasi total tidak menjanjikan kestabilan. Bila Presiden diberi kuasa mutlak dalam pelantikan, ramai yang dilantik bukan kerana kelayakan, tapi kerana kesetiaan.
Hakim, pegawai kanan, penguat kuasa— semua jadi alat politik. Itulah yang berlaku di bawah Trump. Negara jadi huru-hara. Undang-undang tidak dihormati.
Di Malaysia, kita belum sampai ke tahap itu. Tapi jika kita tidak berhati-hati, jalan ke arah itu sedang dibuka perlahan-lahan.
Malaysia perlukan keseimbangan. Tiada satu kuasa boleh mengatasi yang lain dan jadi terpaling.
Seperti pokok walaupun mengakar ke bumi. Dahannya tidak boleh berat ke kiri atau ke kanan. Untuk elak ia tumbang di masa depan.
Kepada PM dan Majlis Raja-Raja kita berserah. Kembalikan equilibrium di Malaysia.
Kerana itulah tunjang negara merdeka, dan buat Rakyat sejahtera…
BACA JUGA: Selepas selamba ‘petik’ nama Majlis Raja-Raja, penyokong Pas ini akui kongsi info tidak sahih