Majlis Raja-Raja bukan hanya bincangkan isu pelantikan hakim, ada isu lain juga
Isu pelantikan hakim, keselamatan negara dan cadangan pengharaman vape, antara perkara dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269, yang berlangsung di Istana Negara, hari ini.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, mesyuarat tersebut dipengerusikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Pada hari ini, Majlis disembahkan taklimat terkini mengenai keselamatan negara oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan mengenai pertahanan negara oleh Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar,” katanya dalam satu kenyataan.
Mesyuarat itu turut membincangkan mengenai pelantikan hakim termasuk Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, selain pelantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Presiden Mahkamah Rayuan serta Ketua Hakim Negara.
“Majlis juga mengambil maklum cadangan untuk mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape atau rokok elektronik di Malaysia.
“Turut dibentangkan ialah Pandangan Hukum Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-126 dan 127, serta Resolusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI Tahun 2025,” katanya.
Majlis turut diberi maklum mengenai keperluan pendaftaran perkahwinan membabitkan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia, serta kertas keputusan Jemaah Menteri berhubung cadangan dasar pengurusan harta yang disita dan dilucut hak secara berpusat.
BACA JUGA: Keseimbangan Raja-Raja Melayu