MP Pas anggap pesta gay di KL, Johor dan Pulau Pinang tidak memalukan tapi di Kelantan…
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dilihat secara sinis mengulas kes pesta gay di Kelantan yang menyaksikan rampasan ratusan kondom dan ubat HIV di di sebuah banglo di Jalan Kemumin, Kota Bharu.
Ketua Penerangan Pas berkenaan menyifatkan serbuan polis itu sebagai “memalukan kerana berlaku di Kelantan”.
Sebaliknya, perli Ahmad Fadhli, aktiviti songsang itu tidak memalukan, malah dianggap kebiasaan apabila berlaku di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.
Dia turut menyenaraikan kes serbuan polis Kuala Lumpur melibatkan Blue Boy Club pada Ogos 2018 dan parti Halloween LGBT pada Oktober 2022 serta pesta seks sejenis di Johor Bahru pada Februari 2023.
Turut disenaraikan, pesta seks di sebuah unit kondominium di Pulau Pinang pada Jun 2022 dengan pihak polis menemui kondom, pelincir, dan dadah jenis ketamin.
“… tentu ia tidak memalukan. Bahkan, itu dianggap biasa.
“Tetapi apabila ia berlaku di KELANTAN, maka ia dikata mengaibkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook dengan menggunakan semua huruf besar bagi ‘Kelantan’.

Terdahulu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya percaya pertemuan hampir 100 lelaki gay di sebuah banglo yang disewakan untuk acara makan-makan adalah untuk aktiviti hubungan terlarang berdasarkan penemuan kondom dan ubat HIV.
Mohd Yusoff pada sidang media hari ini berkata, hasil soal siasat terhadap 20 lelaki yang ditahan, mereka mengaku sebagai penghidap HIV dan menyediakan perkhidmatan secara percuma kepada mereka yang berminat.
“Daripada 20 lelaki berkenaan, tiga daripadanya kita berjaya tuduh di mahkamah memandangkan terdapat video hubungan terlarang lelaki sesama lelaki dalam telefon bimbit mereka.
“Kesemua mereka yang menyertai pertemuan itu adalah orang Kelantan dan masing-masing mempunyai pekerjaan.
“Majlis pertemuan itu juga dimuat naik di media sosial untuk menarik lebih ramai peserta,” kata beliau lagi.
BACA JUGA Hampir 100 gay berpesta di banglo, polis Kelantan rampas ratusan kondom dan ubat ini