NGO minta polis siasat fitnah kematian PM, konvoi motor MP Pas

Sekretariat Bara Juang Negara hari ini membuat dua laporan polis berhubung isu berasingan yang disifatkan sebagai serius dan menggugat ketenteraman awam serta prinsip demokrasi negara.

Menurut kenyataan NGO itu, laporan pertama berkaitan satu hantaran di kumpulan Facebook yang berniat jahat, Penchinta Shalawat yang menyebarkan berita palsu kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meninggal dunia.

“Lebih mengejutkan, hantaran tersebut turut disertakan dengan gambar-gambar palsu dan tidak beretika yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan menimbulkan panik dalam kalangan rakyat.

“Tindakan ini bukan sahaja berniat jahat, malah berunsur fitnah dan jelas melanggar undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Kanun Keseksaan berkaitan penyebaran berita palsu dan penghinaan terhadap pemimpin negara,” menurut sekretariat itu.

Bagi laporan polis kedua, kumpulan penyokong kerajaan Madani itu berkata, penglibatan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Mohd Fawwaz Mohamad Jan dalam satu konvoi motosikal pada 13 Julai lalu membawa naratif menghasut rakyat agar menjatuhkan Perdana Menteri secara jalanan.

“Adakah Fawwaz sebagai seorang ahli parlimen masih gagal memahami sistem berparlimen negara ini?

“Mengapa memilih untuk melakukan provokasi di jalanan sedangkan beliau sendiri mempunyai kuasa dan ruang untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat jika benar beliau mempunyai asas dan sokongan?” soal Sekretariat Bara Juang Negara itu lagi.

BACA JUGA Pastikan pemimpin, penyokong Pas tidak celupar tuduh orang lain dengan isu LGBT