Sah Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh jadi Ketua Hakim Negara

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memperkenankan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.

Seri Paduka Baginda membuat keputusan itu atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Pelantikan Wan Ahmad Farid itu dimaklumkan menerusi kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia di Facebook Badan Kehakiman Malaysia, tengah malam tadi.

Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (tengah), Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Azizah Nawawi.

Dalam masa sama, Sultan Ibrahim turut memperkenankan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, Datuk Azizah Nawawi pula sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.

Beliau menggantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak yang bakal bersara.

Istiadat pengurniaan watikah dan mengangkat sumpah dijadualkan berlangsung pada 28 Julai depan di Istana Negara.

BACA JUGA NGO minta polis siasat fitnah kematian PM, konvoi motor MP Pas