Penyokong Pas ini sudah dipanggil polis gara-gara ‘petik’ nama Majlis Raja-Raja
Seorang penyokong tegar Pas sudah dipanggil ke balai polis untuk diambil keterangan gara-gara selamba ‘petik’ nama Majlis Raja-Raja berhubung isu pelantikan Ketua Hakim Negara.
Perkara itu dimaklumkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim semalam.
Terdahulu, pemilik akaun Facebook, Fais Al-Hajari mendakwa Majlis Raja-Raja telah melucutkan nama Tan Sri Ahmad Terrirudin daripada senarai calon bagi mengisi kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara.
Pengusaha pusat bekam yang menggunakan nama panggilan Papa Berry itu, bagaimanapun, memohon maaf dan mengaku silap berkongsikan maklumat yang tidak sahih.
“Saya yakin beliau (Fais Al-Hajari) akan didakwa kerana posting dia mendatangkan fitnah terhadap institusi Raja-Raja Melayu.
“Daulat Tuanku!” kata Hasnul yang pernah menyandang jawatan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Nasional pada 2020.

Sebelum itu, Hasnul membuat laporan polis di Ipoh meminta siasatan dilakukan terhadap Papa Berry.
Tegasnya, tindakan itu tanggungjawab beliau sebagai rakyat yang mahu menjaga kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu supaya tidak dijadikan “bahan sendaan politik murahan versi walaun Pas”.
Beliau mengakui bukan mudah untuk memerangi golongan ghuluw dan takfiri kerana berhadapan dengan kelompok yang ramai, tersusun organisasinya dan mempunyai pengikut yang membuta tuli serta menunggang agama dan bangsa.
“Jika dibiarkan tanpa apa-apa tindakan, mereka ini akan terus berleluasa melakukan perkara yang boleh memecah-belahkan masyarakat.
“Saya ambil sedikit peranan dan tanggungjawab untuk memerangi golongan ini melalui saluran undang-undang,” kata Hasnul menerusi hantaran di Facebook semalam.
BACA JUGA Selepas selamba ‘petik’ nama Majlis Raja-Raja, penyokong Pas ini akui kongsi info tidak sahih