Ops Kesan 4.0: 120 Premis Diperiksa, Peniaga Diberi Amaran Jangan Manipulasi Harga

FOTO BERITA: Pemeriksaan harga barang keperluan pengguna susulan peluasan SST di bawah Oos Kesan 4.0 oleh Mohd Hanizam Kechek Ketua Pegawai Penguat Kuasa NegeriKementerian Perdagangan Dalam NegeriDan Kos Sara Hidup, SELANGOR di Pasaraya Giant Shah Alam Stadium Lot 2, Persiaran Sukan Seksyen 13, Shah Alam Selangor. 18 Julai 2025 (Jumaat)

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor meneruskan pelaksanaan OPS KESAN 4.0 secara agresif sejak 1 Julai 2025, susulan peluasan skop dan semakan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang mula berkuat kuasa pada tarikh sama.

Hasil pemeriksaan sehingga 18 Julai 2025 menyaksikan sebanyak 120 premis telah diperiksa melibatkan pelbagai kategori perniagaan seperti pengilang, pengimport, pemborong, pengedar dan peruncit. Pemeriksaan tersebut melibatkan sejumlah 416 Stock Keeping Unit (SKU) barangan keperluan asas pengguna termasuk barangan basah dan makanan dalam tin.

“OPS KESAN 4.0 ini dilaksanakan bagi memastikan tiada pihak peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah atau menggunakan peluasan SST sebagai alasan untuk pencatutan,” jelas Mohd Hanizam Kechek, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Selangor .

Kesemua premis yang diperiksa telah diberikan Notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 untuk mendapatkan butiran harga dan kos barangan yang dijual.

KPDN turut menjelaskan bahawa penguatkuasaan tertumpu kepada empat elemen utama dalam menilai sama ada berlaku pencatutan atau tidak iaitu jenis barangan/perkhidmatan di bawah skop SST baharu, syarikat berdaftar yang melebihi nilai ambang dan wajib mendaftar dengan JKDM, tempoh pergerakan harga, iaitu selepas dasar baharu SST berkuat kuasa dan margin keuntungan, yang tidak melebihi kadar munasabah dan tidak melanggar AKHAP.

KPDN Selangor menggesa semua peniaga agar merujuk kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pihak kementerian untuk mendapatkan maklumat lengkap berkenaan pelaksanaan SST serta mekanisme penentuan pencatutan.

Serahan notis pengesahan maklumat barangan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kepada pihak premis yang diperiksa untuk mendapatkan Pengesahan Maklumat Barangan yang diperiksa.

Pemeriksaan ini turut menjadi kesinambungan kepada langkah awal Operasi GEMPUR yang telah dijalankan pada hujung Jun lalu, di mana sebanyak 1,045 premis diperiksa dalam tempoh hanya 12 jam, sebagai usaha pencegahan awal menjelang pelaksanaan SST.

KPDN memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah menaikkan harga secara tidak munasabah. Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.

“OPS KESAN 4.0 bukan sekadar pemantauan, tetapi juga satu bentuk ‘fear factor’ kepada peniaga agar kekal beretika, telus, dan tidak menyalahgunakan dasar baharu SST,” tegas Mohd Hanizam.

Tindakan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif KITA GEMPUR, yang dilancarkan sejak 19 Oktober 2024 dalam usaha kerajaan memerangi manipulasi dan penindasan pengguna dalam aktiviti perniagaan. KPDN Selangor menegaskan komitmennya untuk terus mempertingkatkan penguatkuasaan dan pemantauan harga secara berterusan demi melindungi hak pengguna serta memastikan kelangsungan pasaran yang adil dan berintegriti di negeri Selangor.