Anwar disambut kereta rasmi di Beijing, Hsien Loong naik bas lapangan terbang

Layanan istimewa terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disambut karpet merah dan dibawa menaiki kenderaan rasmi negara ketika tiba di Beijing untuk lawatan rasmi pertama sebagai Perdana Menteri semalam menarik perhatian lensa media.

Sambutan itu berbeza pula dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan isteri Ho Ching yang juga tiba di Beijing pada hari sama dari menghadiri forum di Hainan apabila beliau bersama delegasinya hanya menaiki bas lapangan terbang.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Hsien Loong selepas pandemik Covid-19 pada tahun 2019.

Keadaan itu memberikan bayangan kepimpinan Anwar mendapat perhatian di mata pemimpin kuasa besar dunia China sekali gus memperlihatkan kepentingan hubungan dua hala antara Kuala Lumpur dan Beijing.

Kenderaan rasmi negara membawa Anwar selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing pada 30 Mac 2023. Foto CGTN
Perdana Menteri Lee Hsien Loong bersama delegasinya berjalan menuju ke bas lapangan terbang selepas tiba di Beijing semalam. Foto CGTN

Terdahulu pesawat khas membawa Anwar dari Hainan tiba di Beijing semalam bagi menyambung lawatan rasmi di China selepas menghadiri Forum Boao bagi Persidangan Tahunan Asia 2023.

Delegasi Malaysia terdiri daripada Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Anwar disambut oleh Naib Menteri Luar China Sun Weidong, Duta Besar China di Malaysia Ouyang Yujing dan Timbalan Ketua Kedutaan Besar Malaysia di China Sanmugan Subramaniam.

Anwar dijadual bertemu Presiden China  Xi Jinping hari ini bagi membincangkan aspek strategik hubungan dua hala dan memperbaharui hubungan pasca pandemik dengan mengambil kira cabaran global.

Perdana Menteri juga dijadual bertemu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Kebangsaan Rakyat China Zhao Leji.

Esok Perdana Menteri akan diberikan sambutan rasmi di Great Hall of the People, Beijing oleh Perdana Menteri Li Qiang dan ikuti dengan mesyuarat dua hala.

Â