Sayap Pemuda Kerajaan Ancam Desak PM Tolak Nick Adams Sebagai Duta

FOTO BERITA: Himpunan Bantah Nick Adams Calon Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia yang mempunyai rekod ekstrem kanan dan Islamofobia tidak wajar dihantar ke negara kita di Kedutaan Besar Amerika Syarikat, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. 18hb Julai 2025 (Jumaat)

Sayap pemuda parti-parti kerajaan bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini mengadakan satu himpunan aman berdekatan dengan Kedutaan Amerika Jalan Tun Razak bagi membantah pencalonan tokoh konservatif pro-Zionis, Nick Adams, sebagai Duta Amerika Syarikat ke Malaysia.

Himpunan yang dianjurkan oleh Pemuda PKR, Pemuda AMANAH, DAPSY serta disertai NGO termasuk IKRAM itu menyaksikan wakil-wakilnya mengutuk keras pencalonan yang dilihat sebagai mencabar kedaulatan Malaysia dan prinsip kemanusiaan sejagat, khususnya berkaitan dengan isu Palestin.

Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda AMANAH Nasional, Mus’ab Muzahar, menyifatkan pencalonan Nick Adams sebagai satu tindakan biadab dan tidak sensitif, khususnya terhadap penderitaan rakyat Gaza.

Mus’ab turut menegaskan bahawa Malaysia berhak menolak mana-mana calon diplomat asing, termasuk Adams, mengikut Artikel 4 Konvensyen Vienna mengenai hubungan diplomatik. “Nick Adams bukan sekadar tokoh kontroversi, dia simbol kepada ekstremisme, Islamofobia dan politik kebencian. Malaysia tidak boleh menjadi medan kepada duta yang membawa agenda sedemikian,” katanya lagi.

Turut hadir, Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Asmaaliff Abdul Adam, yang membidas pencalonan tersebut sebagai cubaan mencemarkan maruah negara dan memperlekehkan prinsip kemanusiaan Malaysia.

“Kita sudah ada ramai tokoh bernama Nik seperti Nik Aziz, Nik Nazmi, Nik Abduh. Tak perlu tambah seorang lagi bernama Nick — terutama sekali Nick Adams,” katanya secara sinis.

Beliau menyenaraikan tiga sebab utama mengapa pencalonan itu perlu ditolak, iaitu Malaysia berdaulat dan bermaruah, pencalonan Adams belum dimuktamadkan dan beliau menyokong kekejaman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin.

Himpunan yang berlangsung dengan aman itu turut diserikan dengan sepanduk dan poster kecaman terhadap Nick Adams, selain seruan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin. Acara tersebut berakhir dengan laungan semangat dan sokongan terhadap dasar luar Malaysia yang konsisten memperjuangkan hak kemanusiaan dan menolak penindasan.

Pencalonan Nick Adams oleh bekas Presiden Donald Trump terus mengundang bantahan dalam dan luar negara kerana latar belakangnya yang kontroversial serta retorik ekstremis yang dilihat bercanggah dengan nilai keamanan, toleransi dan keadilan yang dipegang Malaysia.

Malaysia adalah sebuah negara yang menjunjung tinggi prinsip keterangkuman, kesederhanaan dan saling hormat-menghormati. Pelantikan seorang individu yang pernah mengeluarkan kenyataan Islamofobik adalah tidak wajar dan boleh mencetuskan ketegangan hubungan diplomatik.

Himpunan yang bermula jam 2.00 petang itu berlangsung aman dan berakhir kira-kira sejam kemudian dengan penyerahan memorandum bantahan kepada wakil Kedutaan Amerika Syarikat. Peserta membawa sepanduk mengecam pencalonan Adams dan menyatakan solidariti penuh terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Dalam satu himpunan aman di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, kira-kira 70 peserta daripada Pemuda PKR, Pemuda AMANAH, DAPSY serta NGO termasuk IKRAM menyatakan bantahan tegas terhadap pencalonan yang dianggap menghina kedaulatan Malaysia dan mencabar prinsip kemanusiaan sejagat.
