‘Bawa usul di Parlimen, kalau saya kalah saya letak cara baik’

Datuk Seri Anwar Ibrahim bersikap terbuka dengan sebarang cubaan untuk menurunkannya dari kerusi Perdana Menteri, namun menegaskan ia mestilah melalui medium yang betul.

Anwar berkata, pembangkang perlu membawa usul di Parlimen dan sekiranya beliau tidak lagi memperoleh kepercayaan, maka beliau sendiri akan turun secara baik.

Beliau juga tidak akan menghalang segala usaha menarik Ahli Parlimen untuk bersama-sama dengan pembangkang.

“Gunalah Parlimen, kritiklah. Kalau dia ada cukup jumlah, dia bawal usul. Itu caranya.

“Tariklah mana-mana Ahli Parlimen nak sokong dia, sokong. Kalau dah saya kalah, saya letak dengan baik. Itu cara aman. Kalau tidak tunggulah pilihan raya. Tapi sementara ini jagalah. Ini lah satunya negara yang aman,” katanya ketika berucap di Majlis Pecah Tanah Kompleks Madani hari ini.

Jelas beliau, kestabilan politik dan pentadbiran yang baik amat penting untuk menjamin kemajuan negara, lebih-lebih lagi ketika beberapa negara jiran sedang berdepan dengan pergolakan.

“Negeri kena aman. Politik kena stabil. Tatakelola, tadbir urus kena baik. Negeri kena maju. Sebab negara-negara jiran ini sedang kacau dah.

“Cambodia tegang di sempadan lawan Siam. Myanmar masih bermasalah, Thailand bergolak lagi. Indonesia jauh lebih stabil tetapi masalah rupiah dan pasaran saham memang perlu ditingkatkan.

“Filipina ketegangan. Malaysia ini rantau aman, negara aman di rantau yang begitu. Jagalah (keamanan),” katanya.

BACA JUGA Kita tak boleh halang kalau PN nak berangan, balas Zahid Hamidi