Peringatan PKR Pahang kepada Umno dalam isu adendum tambahan Najib
Sejumlah 14 ketua cabang PKR Pahang mengingatkan Umno agar tidak memberikan tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar dalam isu adendum tambahan untuk mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Sebarang usaha membicarakan semula perkara ini termasuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri untuk mengambil tindakan bersendirian adalah satu usaha yang membelakangkan perlembagaan, tidak menghormati proses undang-undang, tidak matang dan berbentuk campur tangan politik dalam pentadbiran mahkamah,” kata mereka dalam satu kenyataan mereka.
Mereka turut mengingatkan Umno bahawa Sultan Pahang sendiri telah bertitah agar menghentikan perbahasan tentang isu ini pada 28 Feb memandangkan isu ini kini berada di mahkamah.
“Kami menyeru seluruh rakyat agar menjunjung titah Tuanku Sultan Pahang demi menghormati proses mahkamah dan seterusnya memelihara keharmonian dan perpaduan negara.”
Anwar sebelum ini telah menyatakan bahawa beliau menghormati pandangan Umno dalam isu ini namun perkara ini berada di mahkamah.
Beliau telah pun menegaskan bahawa beliau tidak akan mencampuri urusan mahkamah.
Adendum oleh mantan Agong merangkap Sultan Pahang telah mengesyorkan agar Najib meneruskan hukuman sebagai tahanan di rumah.
Hukuman Najib telah pun dikurangkan kepada 6 tahun penjara dan denda RM50 juta setelah didapati bersalah dalam kes SRC International.
BACA JUGA: Demi perkembangan Islam, ekonomi, kekalkan pentadbiran Anwar Ibrahim, tegas Syeikh Wazir