Tuntutan tukar kerajaan tidak hormati ulama, derhaka kepada guru

Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulama Pas Pusat, Mokhtar Senik menyoal kembali tujuan pembangkang menganjurkan himpunan Turun Anwar pada 26 Julai ini.

Bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pahang itu berpendapat jika mahu menukar kerajaan, perkara itu bercanggah dengan persetujuan untuk mengekalkan kerajaan sedia ada.

“Saya nak beritahu dan sekaligus bertanya. Apa tujuan himpunan 26 Julai itu dan apa tujuan kita mengundi PN (Perikatan Nasional) dalam PRU16 nanti?

“Kalau tujuannya untuk menukar kerajaan, bukankah itu nanti berlawanan dgn persetujuan sebahagian kita bahawa kerajaan ini perlu dikekalkan?

“Saya tulis status itu kerana saya tak mahu dianggap tidak menghormati ulama,” katanya menerusi Facebook ‘Mokhtar Dup’.

Kenyataan itu, jelasnya, bagi menjawab pertanyaan orang ramai susulan hantaran beliau sebelum ini yang menegaskan tidak menyertai himpunan pada Sabtu ini serta tidak mengundi Pas pada PRU-16 nanti.

“Nak berhimpun lagi ke 26 haribulan ni? Ambo tarik diri dah.

“Jangan tanya ambo bakpo. PRU-16 nanti mengundi Pas pun malas,” tulisnya ringkas.

Mengulas lanjut, Mokhtar berkata, sepanjang hidupnya, sikap menghormati ulama adalah prinsip asas beliau dalam Pas.

“Kalau saya tulis kerajaan perlu ditukar takut nanti saya dianggap derhaka kepada para guru-guru.

“Itu sahaja alasan mengapa saya tulis status itu.

“Lagi pun musuh dah ambil sebagai peluru untuk menembak Pas. Jadi, kita tadah je lah dada sampai syahid beramai-ramai,” kata Mokhtar lagi.

BACA JUGA PN retak tiada hala tuju, berebut kuasa tanpa agenda rakyat