Pelbagai inisiatif kerajaan terbukti berhasil, pelancong antarabangsa melonjak 20 peratus
Seramai 16.9 juta pelancong antarabangsa menjejaki Malaysia dari Januari hingga Mei tahun ini iaitu peningkatan 20 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), hampir separuh daripada jumlah itu membabitkan pelancong dari negara jiran, Singapura, yang merekodkan 8.34 juta ketibaan.
Ini diikuti oleh Indonesia dengan 1.82 juta pelawat, China (1.81 juta) dan Thailand (1.06 juta), menurut jawapan bertulis MOTAC di Parlimen semalam.
Dalam masa sama, kementerian itu memaklumkan pasaran jarak jauh seperti Australia dan United Kingdom turut menunjukkan pertumbuhan positif.

Kedua-dua negara itu masing-masing mencatatkan peningkatan ketibaan sebanyak 16.6 peratus dan 8.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Kenaikan ketara ini membuktikan keberkesanan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan menerusi pendekatan strategik dan dasar progresif seperti pelan liberalisasi visa, serta sokongan dan insentif kepada pemain industri,” jelas MOTAC.
Sebelum ini, Malaysia mencatat lebih 25 juta pelancong antarabangsa sepanjang tahun 2024 tetapi jumlah tersebut masih belum mencapai sasaran asal iaitu 27.3 juta.
Malaysia pada tahun 2026 mensasarkan 47 juta ketibaan pelancong antarabangsa dengan memberi tumpuan kepada pasaran utama seperti Asia Tengah, Timur Tengah, Asia Tenggara, Eropah dan Oceania.
BACA JUGA Benarkah pengampunan terhadap PMX cuma gugur hukuman, sabitan kekal?