Sidang DUN Kelantan tamat awal lagi, ADUN PH-BN tetap semangat bawa suara rakyat

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada hari kedua hari ini telah ditamatkan awal dengan terdapat soalan yang masih berbaki.

Keadaan itu sama seperti sidang semalam yang ditamatkan dalam tempoh tiga jam tanpa sebarang usul kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim memberitahu sebanyak 10 soalan lisan daripada 32 yang tersenarai berjaya dijawab oleh Kerajaan Negeri sebelum sidang berehat jam 12 tengah hari tadi.

Dr Hafidzah Mustakim

Menurutnya, persidangan hari kedua ini merupakan sambungan sesi soalan dan jawapan manakala esok merupakan hari terakhir persidangan.

“Soalan saya berhubung penjagaan warga emas di negeri Kelantan telah dijawab oleh Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita.

“Soalan sahabat saya YB Galas dan YB Nenggiri, langsung tak naik.

“Jadi, hari ini kami berulang kali bangun mencari ruang untuk mengemukakan soalan tambahan.

“YB Galas sempat bangun empat kali, saya pula dua kali sahaja,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Selain Dr Hafidzah, dua lagi wakil rakyat pembangkang ialah Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (BN-Nenggiri) dan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas).

Mengulas lanjut, Dr Hafidzah yang juga Naib Ketua Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Nasional itu berkata, Syahbuddin sekali lagi bangun meminta agar sidang diteruskan untuk menjawab soalan yang masih berbaki.

Walau bagaimanapun, jelasnya, permintaan wakil rakyat BN itu tidak berjaya kerana tidak dimasukkan dalam aturan mesyuarat.

“Namun kami tetap semangat, untuk membawa suara rakyat Kelantan ke dalam dewan!,” tegas Dr Hafidzah lagi.

BACA JUGA Ulama Kelantan mahu Anwar kekal PM tapi anak pula ‘perbetul’ maksud ucapan