Mahathir yang sudah terlalu lupa: Bapa segala kerosakan dan fitnah negara

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah digelar negarawan ulung, kini berubah menjadi simbol dendam dan kejumudan politik yang sudah tidak relevan dengan aspirasi Malaysia moden.

Dalam hantaran Facebook beliau semalam, Mahathir menyeru rakyat menyertai demonstrasi “Turun Anwar” pada 26 Julai ini.

Lebih melampau, beliau mendakwa kononnya mungkin akan ada pihak tertentu dituduh membawa atau ditemui membawa senjata sebagai provokasi.

Ia satu kenyataan tidak bertanggungjawab, berbaur hasutan dan tidak berpijak di bumi nyata.

Mungkin inilah yang pernah beliau lakukan ketika pemerintahannya dengan membuat puluhan sekatan jalan raya ketika bersemaraknya demonstrasi reformasi 1998.

Ironinya, Mahathir kini mengangkat demonstrasi jalanan sebagai alat perjuangan, sedangkan ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, beliau pernah menyatakan secara sinis bahawa demonstrasi “bukan budaya Malaysia”.

Pada 2001, beliau secara angkuh menghina rakyat Indonesia dengan menyifatkan gerakan reformasi di negara itu sebagai tindakan ganas rakyat yang tidak bertamadun.

Kini, beliau sendiri menjilat ludahnya dengan menghasut rakyat agar merusuh kerana dendam peribadi.

Bapa segala kerosakan dan fitnah

Mahathir tidak boleh dibersihkan daripada sejarah kerosakan politik dan institusi negara.

Beliau ialah arkitek kepada pelbagai tindakan kejam yang membenam serta membunuh demokrasi:

  • Tragedi Memali (1985) berlaku di bawah pentadbirannya, mengorbankan 18 orang termasuk 14 rakyat awam.

Beliau menuding jari kepada Tun Musa Hitam, sedangkan arahan dasar datang dari kerajaan yang beliau sendiri ketuai.

  • Penahanan besar-besaran di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Antaranya Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh, Mohamad Sabu, dan Anwar Ibrahim sendiri.

Tangkapan itu dilakukan semata-mata untuk membungkam suara pembangkang, aktivis, dan bahkan rakan-rakan dalam UMNO yang berani menegurnya.

  • Fitnah jahat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 bukan hanya mencemarkan sistem keadilan negara, malah memperlihatkan kerakusan kuasa seorang pemimpin yang takut kehilangan takhta.

Seluruh jentera negara — media, polis, peguam negara — digunakan untuk menjatuhkan orang nombor dua beliau sendiri.

  • Tun Musa Hitam, yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri, akhirnya meletak jawatan pada 1986 kerana perbezaan prinsip dengan Mahathir.

Dalam satu wawancara, Musa menyebut Mahathir sebagai seorang yang sukar menerima pandangan berbeza, dan sering memanipulasi naratif untuk menyelamatkan diri.

Hipokrasi dan ketakutan Mahathir

Hari ini, Mahathir menuduh kerajaan Anwar sebagai tidak mengamalkan “rule of law”, tetapi beliaulah yang telah memusnahkan institusi kehakiman pada 1988 ketika memecat Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas, hanya kerana tidak sehaluan politik.

Mahathir bukan sahaja tidak layak bercakap soal undang-undang, malah sepatutnya dipertanggungjawabkan atas kemusnahan sistem kehakiman dan demokrasi Malaysia.

Apa yang Mahathir takutkan sebenarnya? Apakah kerana anak-anak dan kroninya kini mulai disiasat?

Atau kerana prinsip “tiada siapa kebal di sisi undang-undang” yang diterapkan oleh Anwar Ibrahim hari ini bakal menyeret sejarah silamnya ke mahkamah rakyat?

Ditunggang atau menunggang Pas dan PN?

Melihat Mahathir kini berpadu suara dengan Pas dan Perikatan Nasional (PN) amat menyedihkan.

Beliau sendiri pernah menyifatkan Pas sebagai kolot dan ekstrem, dan menggelar pemimpin PN sebagai pengkhianat demokrasi.

Dari kini: Sanusi, Mahiaddin, Mahathir, Abdul Hadi dan Hamzah.

Kini beliau bergabung dengan mereka — Demi apa? Kuasa? Dendam? Atau kerana ingin menyelamatkan diri dari kemungkinan pendakwaan?

Kita tidak lupa, Mahathir pernah menjatuhkan Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas PRU 2008, kemudian menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak pula pada PRU 2018.

Kini, beliau cuba menjatuhkan Anwar Ibrahim — satu-satunya tokoh yang pernah beliau aniaya, pecat dan aibkan secara terbuka.

Di mana Mahiaddin dan Abdul Hadi?

Jika benar kerajaan Madani ini lemah, mengapa Tan Sri Mahiaddin Yassin, Hamzah Zainuddin dan Haji Hadi Awang tidak membawa undi tidak percaya di Parlimen?

Bukankah mereka masih bergelar Ahli Parlimen? Tetapi seperti biasa, mereka memilih jalan hasutan dan fitnah — lebih selesa menabur kebencian daripada mencabar secara demokratik dalam Dewan Rakyat.

Mereka bukan sahaja gagal memimpin semasa berkuasa, tetapi kini menjadi pembangkang yang pengecut dan tidak bermaruah.

Ketika Covid-19 melanda negara, mereka lebih sibuk menyelamatkan kedudukan politik berbanding menyelamatkan rakyat.

Cukuplah Mahathir, rakyat mahu maju ke hadapan

Malaysia sedang bangkit semula — membina institusi, ekonomi, dan keyakinan dunia melalui pendekatan Malaysia Madani.

Rakyat kini mahu kestabilan, pembaharuan, dan negara yang bersih daripada politik lama yang penuh manipulasi.

Mahathir sudah terlalu lupa, atau mungkin sengaja berpura-pura lupa tentang kerosakan yang beliau bawa selama lebih 22 tahun pemerintahannya.

Namun, rakyat tidak lupa. Malaysia tidak akan lagi dipimpin oleh pemimpin yang menjadikan negara ini ladang dendam peribadi.

Cukuplah Tun. Rakyat sudah muak. Kami tidak akan kembali ke zaman kegelapan politikmu.

*DR SHAHNOR BASRI merupakan Felo Utama Akademi Sains Islam, Jordan.

BACA JUGA Tuntutan tukar kerajaan tidak hormati ulama, derhaka kepada guru