Pelan Penjagaan Inklusif Negeri Bakal Diperkenal, SICS Jadi Medan Permulaan – YB Anfaal

FOTO BERITA: Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) Netwroking Hi-Tea 2025 bersama YB Puan Anfaal binti Saari, selaku EXCO Pembangunan Wanita Dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor di The Saujana Hotel, Shah Alam Selangor. 22hb Julai 2025 (Selasa)

Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh komitmennya dalam membangunkan ekosistem penjagaan yang inklusif dan mampan melalui penganjuran Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) – Networking Hi-Tea 2025 yang berlangsung di The Saujana Hotel, Shah Alam hari ini.

Majlis berprestij ini telah disempurnakan oleh YB Puan Anfaal Saari, EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, yang turut menyampaikan amanat penting berkenaan keperluan transformasi sistem penjagaan di negeri ini seiring cabaran demografi dan sosial masa kini.

“Sektor penjagaan harus diberi perhatian serius dan strategik. Kita tidak boleh lagi bergantung kepada sistem tidak formal dan tidak berstruktur. Sudah tiba masanya penjagaan diangkat sebagai satu bidang profesional, diiktiraf dan disokong oleh dasar yang progresif,” tegas YB Puan Anfaal

Acara Networking Hi-Tea ini menghimpunkan pelbagai pemegang taruh termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar akademik, institusi penjagaan, penyedia latihan dan komuniti antarabangsa. Perbincangan berfokus kepada membina jaringan kerjasama dan perkongsian pintar menjelang penganjuran penuh Sidang Kemuncak SICS 2025 yang dijadualkan berlangsung hujung tahun ini.

Objektif utama SICS adalah untuk mengetengahkan Selangor sebagai peneraju dalam membina model penjagaan masa hadapan – yang holistik, mesra gender, responsif terhadap penuaan penduduk, serta memberi perlindungan kepada penjaga formal dan tidak formal.

Majlis turut menyaksikan sesi libat urus awal yang membincangkan isu-isu kritikal seperti pengiktirafan penjaga tidak formal, sokongan psikososial kepada penjaga, akses kepada latihan berkualiti dan penciptaan peluang pekerjaan dalam sektor penjagaan.

Majlis Networking Hi-Tea ini bukan sekadar medan pertemuan, tetapi menjadi langkah awal ke arah pembinaan sistem penjagaan yang lebih adil, berdaya tahan dan menyeluruh untuk seluruh rakyat Selangor.

YB Puan Anfaal dalam sidang media ringkas menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Selangor akan memperkenalkan beberapa inisiatif perintis hasil dapatan dari SICS termasuk pelan tindakan negeri bagi penjagaan inklusif yang akan dibentang semasa sidang kemuncak nanti.