Pengumuman PMX isyarat penghormatan kepada rakyat Malaysia, tulang belakang negara

Ucapan penghargaan untuk rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri hari ini adalah isyarat penghormatan kepada rakyat Malaysia yang menjadi tulang belakang kepada kestabilan negara.

Tegas pada dasar, jelas pada hala tuju, Perdana Menteri disifatkan telah berjaya menanam keyakinan bahawa reformasi fiskal sedang berjalan atas landasan yang betul dengan sokongan rakyat sebagai nadi utama.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pengumuman khas hari ini adalah seruan penyatuan dan penghargaan terhadap semua yang menyumbang kepada pembangunan negara dari kampung hingga ke bandar, dari penjawat awam hingga ke petani.

“Ini bukti jelas betapa Malaysia MADANI bukan sekadar slogan, tetapi gerakan nasional yang kita jayakan bersama.

“Alhamdulillah di bawah Kerajaan MADANI kejayaan negara kini semakin kukuh dengan dengan KDNK suku pertama 2025 mencecah 4.4%, unjuran Q2: 4.5%.

“Malaysia naik 11 anak tangga ke tangga ke-23 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2025 dan ringgit mengukuh 5% (RM4.23/USD), antara 5 mata wang terbaik Asia,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Fadillah berkata, kejayaan ini bukan hanya angka atas kertas, sebaliknya ia telah membuka ruang luas kepada pelaburan, peluang kerja dan dasar sosial yang menyasarkan rakyat terbanyak.

Langkah-langkah yang diumumkan juga membuktikan keberkesanan dasar MADANI dalam membela rakyat.

Sebagai anak Sarawak, beliau melihat sendiri makna sebenar dasar menyeluruh, di mana kenaikan harga lantai padi, insentif getah, dan program akar umbi seperti Sejati MADANI telah menjawab keperluan rakyat luar bandar.

Malah selaku Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) beliau juga menzahirkan penghargaan atas keberanian PETRA menyusun semula subsidi tenaga dan tarif elektrik.

1) Mulai Julai, 85% rakyat bayar bil elektrik lebih rendah sehingga 14%

2) Subsidi RON95 akan disasarkan –  harga diturunkan kepada RM1.99/liter

3) Penjimatan subsidi disalurkan semula kepada rakyat, bukan warga asing

“Ini bukti bahawa reformasi tidak semestinya membebankan. Ia memberi keadilan dan kelegaan kepada majoriti rakyat,” ujarnya.