Selepas sedekad, kali pertama harga RON95 bawah RM2 di tengah cabaran global
OLEH A. ZAHID
Dalam tempoh sepuluh tahun, rakyat Malaysia tidak pernah melihat harga minyak turun di bawah RM2 seliter, melainkan ketika Covid-19 melanda dunia. Pada waktu itu harga minyak dunia juga jatuh.
Hari ini, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, harga RON95 diumumkan pada kadar RM1.99, satu kejayaan yang tidak boleh dipandang ringan.
Perlu diingat, kali terakhir harga minyak serendah ini adalah pada Februari tahun 2016, ketika pasaran global berada dalam keadaan yang jauh lebih stabil berbanding hari ini.
Kini, dengan konflik geopolitik yang masih berlarutan di Timur Tengah, ketidaktentuan pasaran minyak mentah global, dan kesan berpanjangan daripada pandemik, menurunkan harga minyak bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan.
Namun, keputusan ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap beban kos sara hidup rakyat, malah ia menunjukkan bahawa dasar fiskal dan kawalan subsidi sedang dilaksanakan dengan berhemah dan strategik.
Tentu sahaja akan ada suara sumbang yang mempersoalkan keberkesanan langkah ini, atau cuba mempolitikkan keputusan yang bersifat membantu rakyat secara langsung.
Namun, bagi majoriti rakyat marhaen yang setiap hari berulang alik untuk bekerja dan mencari rezeki, penurunan ini adalah kelegaan yang sangat besar.
Kesan dominonya juga dijangka meluas, harga barang boleh dikawal, kos logistik menurun, dan peniaga kecil dapat bernafas. Ini adalah bukti bahawa kerajaan tidak sekadar beretorik, tetapi benar-benar mencari jalan untuk menyelesaikan isu rakyat.
Ketika banyak negara bergelut dengan inflasi dan kenaikan harga tenaga, Malaysia mengambil langkah berani – menurunkan harga minyak ke paras mampu milik. Ini bukan magik. Ini adalah hasil pengurusan yang teliti dan komitmen kepada rakyat.
Rakyat harus membuka mata dan menilai dengan adil. Sesuatu yang tidak pernah berlaku selama sedekad akhirnya menjadi realiti.
BACA JUGA Sah Mykiosk tiada unsur rasuah, pihak menuduh patut mohon maaf kepada penjawat awam