Bayaran penceramah cecah RM100,000, set makanan pula RM20,000 tapi wajib derma
Butiran berkaitan anggaran perbelanjaan himpunan pembangkang termasuk bayaran untuk penceramah dan set makanan golongan kenamaan (VVIP) menjadi bualan orang ramai.
Menerusi perkongsian Najib Bakar, sebanyak RM100,000 diperuntukkan untuk 20 penceramah terdiri daripada Ahli Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Malah, kos pengangkutan MP dan ADUN untuk menghadiri Himpunan Mandat Negarawan di Kedah baru-baru ini serta Himpunan Turun Anwar di Kuala Lumpur Sabtu nanti turut dibayar.

Peruntukan sebanyak RM20,000 disediakan untuk bayaran utiliti bagi kesemua pemimpin Perikatan Nasional (PN) terlibat.
Dalam masa sama, set makanan VVIP yang mencecah RM20,000 turut menarik perhatian warganet.
Rata-rata membandingkan jurang ketara layanan dinikmati pemimpin PN dengan penyokong pembangkang yang perlu mengeluarkan wang sendiri untuk pengangkutan dan makanan.
Ibarat ‘jatuh ditimpa tangga’, peserta himpunan juga diwajibkan menderma kononnya sebagai tanda sokongan.
“Pungutan derma akan dijalankan dan diwajibkan kepada semua peserta yang hadir sebagai tanda sokongan kepada tujuan program ini,” menurut nota pada maklumat anggaran perbelanjaan itu.
BACA JUGA Empat negeri pembangkang paling tinggi kadar guna SARA