MB SG4 beri apa untuk kurangkan beban rakyat?

Menteri Besar di empat negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis dipersoalkan peranan mereka dalam membantu mengurangkan beban rakyat.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Jeli, Wan Mahussin Wan Zain berkata, pemimpin dan penyokong pembangkang perlu berterima kasih kepada Perdana Menteri yang mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun.

“Kalau Menteri Besar PN tidak boleh beri apa-apa sekurang-kurangnya berterima kasihlah kepada Perdana Menteri yang menyalurkan sumbangan kepada rakyat Malaysia.

“Apabila Kerajaan Persekutuan umum bantuan RM100, kerajaan negeri sepatutnya umum bantuan sebanyak RM150. Ini baru betul,” katanya menerusi TikTok beliau.

Wan Mahussin berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari yang mendakwa kononnya pengumuman khas Perdana Menteri semalam kononnya untuk mengurangkan momentum kemarahan rakyat untuk turun berhimpun pada 26 Julai ini.

“Ini PMX beri RM100, kamu minta duit untuk tabung (semasa himpunan di jalan raya). Inikah cara pemimpin Islam?

“Inikah cara pemimpin yang kononnya ingin mengangkat martabat rakyat, Islam dan Melayu?” bidas Wan Mahussin.

Semalam, Anwar mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pemberian dengan peruntukan RM2 bilion itu, adalah ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup, selain sebagai penghargaan kepada rakyat yang memberi manfaat kepada 22 juta rakyat negara ini.

Mengulas lanjut, Wan Mahussin menegaskan bahawa rakyat Kelantan meraih banyak manfaat daripada pengumuman Perdana Menteri semalam.

“Bukan ini cara pemimpin Islam (memperlekeh bantuan kerajaan Persekutuan). Pemimpin Islam akan tambah jika tidak cukup. Ini baru betul pemimpin Islam

“Buatlah e-wallet untuk rakyat negeri Kelantan sebagai insentif kerajaan negeri bagi menambah sumbangan daripada pihak kerajaan Persekutuan,” saran beliau.

@wan.mahussin.wan.zain

PMX umum RM 100, MB Kelantan tambah RM 50 lagi

♬ suara asli – Sulthanell – Sulthanell

BACA JUGA Empat negeri pembangkang paling tinggi kadar guna SARA