Tempoh PM dua penggal: Apa sudah jadi?
Usaha ke arah pengehadan tempoh perdana menteri kepada dua penggal atau 10 tahun sedang berterusan dan ia akan melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Jemaah Menteri telah mengambil maklum bahawa cadangan ini melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan menyentuh kuasa budi bicara Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Oleh itu, ia memerlukan penelitian secara menyeluruh dan holistik, termasuk mendapatkan pandangan dan persetujuan pelbagai pihak berkepentingan seperti kerajaan-kerajaan negeri serta pihak-pihak politik di peringkat Persekutuan dan Negeri.
“Jemaah Menteri antara lain, telah memutuskan supaya diadakan perbincangan bersama parti-parti politik, termasuk dari Sabah dan Sarawak, bagi mencapai kesepakatan awal berhubung cadangan ini.
“Perkara ini masih dalam tindakan dan penelitian pihak Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU JPM) pada masa ini.”
Kajian awal berkenaan perkara ini telah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri menerusi Nota Jemaah Menteri pada 19 Mac tahun ini, tambah beliau.
Azalina berkata demikian dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat kepada Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang bertanya bila kerajaan akan membentangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengadakan peruntukan undang-undang yang menetapkan tempoh khidmat seorang Perdana Menteri hanya dua penggal sahaja.
BACA JUGA: Sekali diumum pengumuman penghargaan, rakyat Malaysia dapat 5 berita baik dari PMX