KPDN lancar KBBM 2025 di TikTok Shop, perkasa produk tempatan era digital

FOTO BERITA: Majlis Penutup TikTok Shop Summit dan Kempen Beli Barangan Malaysia 2025 bersama YB Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh di Setia City Convention Centre, 1, Jalan Setia Dagang AG U12/AG, Shah Alam, Selangor. 24hb Julai 2025 (Khamis)

KUALA LUMPUR, 24 Julai 2025 (Khamis) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tak lah melancarkan secara rasmi Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 TikTok Shop, bersempena dengan Majlis Penutup TikTok Shop Malaysia Summit 2025.

Menurut KPDN, dalam tempoh sembilan (9) bulan kerjasama strategik bersama TikTok Shop, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan dengan impak yang ketara. Antara pencapaian utama termasuk, lima (5) sesi libat urus bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), melibatkan lebih 2,300 usahawan dan belia dan empat (4) siri karnival fizikal dan digital di Johor, Sabah, Kelantan dan Selangor, yang menjana lebih 70 jam siaran langsung serta mempromosikan lebih 2,000 produk tempatan secara interaktif.

Dalam pada itu, KPDN turut mengiktiraf inisiatif GovConnect oleh TikTok Shop sebagai platform penting yang menjalin kerjasama erat antara agensi kerajaan – termasuk SIRIM QS International, SSM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) – dengan para penjual TikTok Shop. Inisiatif ini telah mempermudah penyampaian maklumat berkaitan program, latihan dan geran dengan cara yang lebih efisien dan mesra pengguna.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Senator Datuk Dr. Fuziah binti Salleh, menegaskan bahawa sokongan terhadap produk tempatan bukan sahaja penting dari sudut ekonomi, malah mencerminkan jati diri bangsa.

“Setiap pembelian produk Malaysia adalah manifestasi sokongan terhadap impian usahawan tempatan dan langkah ke arah kemakmuran negara. Ia bukan sekadar pembelian, tetapi satu bentuk solidariti ekonomi,” ujar beliau.

Sebagai bukti kejayaan, KBBM 2024 menerusi TikTok Shop telah mencatat peningkatan jualan sebanyak 491% melebihi sasaran awal, memberi manfaat kepada lebih 600,000 produk tempatan. Malah, ekosistem TikTok Shop Malaysia kini terdiri daripada lebih 1.7 juta penjual dan 3.6 juta pencipta kandungan afiliasi yang menjana pendapatan melalui platform tersebut.

KPDN menzahirkan harapan agar KBBM terus menjadi gerakan rakyat, gaya hidup baharu, serta tanggungjawab bersama dalam usaha memartabatkan produk tempatan. Langkah ini diyakini mampu memperkasa ekonomi rakyat, menyemarakkan semangat keusahawanan, dan memastikan Malaysia kekal teguh sebagai sebuah negara yang inovatif, inklusif dan berdaya saing dalam era ekonomi digital.