Kami mahu reformasi institusi bukan ketidakstabilan politik, kata NGO
Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menegaskan bahawa pihak mereka komited terhadap reformasi institusi dan menolak usaha menjatuhkan kerajaan yang akan menyumbang kepada ketidakstabilan politik.
Pertubuhan-pertubuhan tersebut terdiri daripada Bersih, C4 Center, IDEAS, Projek Sama, Pusat Komas dan Transparency International Malaysia
“Reformasi institusi yang menyeluruh dan kukuh ini hanya dapat terlaksana dengan sokongan dan dukungan semua pihak, baik Kerajaan mahupun Pembangkang,” kata mereka dalam satu kenyataan Bersama.
“Ini berdasarkan pengalaman dan pengajaran politik negara yang kita pelajari sejak pertukaran kerajaan pada tahun 2018, Langkah Sheraton, pertukaran Perdana Menteri beberapa kali, serta Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kerajaan Keluarga Malaysia dan Pakatan Harapan.
“Kami mahu melihat lebih banyak reformasi institusi daripada apa yang telah terlaksana oleh Kerajaan Madani.
“Ini memerlukan bukan saja tekad daripada Kerajaan Madani, tetapi juga persaingan berkesan daripada pihak pembangkang termasuk empat negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) dalam idea dan iltizam seberapa banyak dalam kuasa mereka.
“Hanyalah apabila semua pihak berlumba-lumba untuk menawarkan reformasi, baru reformasi mungkin dipacu dan dipandu dengan berkesan.
Ketidakstabilan akan membunuh reformasi institusi
“Reformasi institusi akan terbunuh sekiranya politik negara tidak stabil. Disebabkan tiada pihak yang sentiasa menang, reformasi institusi menguntungkan semua parti dalam persaingan jangka panjang dan seharusnya didukung oleh semua parti.
“Atas dasar ini, kami menolak perubahan kerajaan pada pertengahan penggal melalui pintu belakang seperti Langkah Sheraton yang mengucar-ngacirkan politik negara di tengah-tengah pandemik Covid-19.
“Jikalau ada pertukaran kerajaan, kerajaan seterusnya belum tentu ada komitmen yang jelas dan bersungguh untuk melakukan reformasi institusi, atau terlalu rapuh untuk melakukan sebarang perubahan yang bermakna.
“Kami ingin melihat pelaksanaan reformasi institusi yang dapat menyediakan gelanggang yang sama rata untuk semua parti dalam Pilihan Raya Umum ke-16.”
Pendirian ini diambil ekoran tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mengaitkan Bersih dengan himpunan anjuran Perikatan Nasional pada hujung minggu ini.
Bersih sebelum ini telah menganjurkan beberapa perhimpunan dalam usaha mendesak kerajaan mereformasi pilihan raya.
BACA JUGA: Tempoh PM dua penggal: Apa sudah jadi?