Thailand, Kemboja setuju redakan ketegangan sempadan
Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Thailand dan Kemboja bersetuju untuk mengundurkan tentera negara masing-masing daripada kawasan sempadan yang menyaksikan pertempuran sebelum ini.
Perdana Menteri berkata, beliau berkesempatan berhubung melalui telefon bersama pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, agar masalah antara kedua-dua negara diselesaikan melalui rundingan.
Menurutnya, antara permintaan Malaysia adalah kedua-dua pasukan tentera negara melakukan gencatan senjata dan segera berundur daripada sempadan bagi mengelak ketegangan lebih serius.
“Semalam, saya dapat bicara bersama pemangku Perdana Menteri Thailand dan Perdana Menteri Kemboja (mengenai konflik antara negara) kerana kedudukan Malaysia dan hormat mereka kepada kita.
“Saya beri pandangan dan kata ‘Please Mister Prime Minister, on behalf your friend in Malaysia, please stop and imidiate cease power’,” katanya ketika berucap pada Program Sambutan Peringatan Hari Antidadah 2025 di Jitra, hari ini.
Beliau menjelaskan dalam perbualan panjang itu itu, pemimpin dua negara berjiran itu bersetuju untuk melakukan gencatan senjata dan mengarahkan tentera mereka di sempadan berundur.
“Mereka setuju tapi ada meminta masa sebab dia kata tentera sudah ada di sempadan, maka mereka harus ada waktu sedikit untuk menggerakkan tentera keluar.
“(Keputusan) ini saya syukur kerana apabila saya bicara bersama mereka, keduanya sambut baik dengan hormat. Sebab apa? Sebab Malaysia negara aman dan stabil,” katanya.
Konflik terbaharu Thailand-Kemboja berpunca daripada ketegangan yang tercetus sejak Mei, apabila seorang askar Kemboja maut dalam insiden bersenjata di kawasan sempadan.
Pihak berkuasa Thailand memaklumkan, pertempuran terkini semalam tercetus berdekatan kuil purba Prasat Ta Moan Thom di wilayah Surin, tidak jauh dari sempadan Kemboja yang sering menjadi lokasi pertikaian.
BACA JUGA Tunggang atas nama rakyat, Pemuda Pas tiba-tiba bersorak dah ‘menang’