Himpunan terdesak, tidak bermaruah dan gagal dari Pas-PN
Pada 26 Julai 2025, Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Pas dan disokong oleh Bersatu, bersekongkol untuk menganjurkan sebuah himpunan yang dinamakan “Turun Anwar”.
Kononnya, atas nama rakyat dan desakan NGO, mereka menyeru rakyat menyertai aksi jalanan bagi mendesak Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan.
Namun, realitinya, himpunan ini adalah satu bentuk tindakan paling tidak bermaruah, paling dangkal serta tidak mempunyai nilai moral dan politik yang tinggi, apatah lagi dalam konteks demokrasi berparlimen yang matang.
1) Sistem Parlimen dibakul sampahkan Pas-PN
Malaysia ialah sebuah negara demokrasi berparlimen. Dalam sistem ini, Parlimen adalah medan utama untuk menguji keabsahan kerajaan, termasuk dengan cara mengusulkan undi tidak percaya.
Sepanjang beberapa sesi Parlimen terkini, pembangkang iaitu Pas dan PN langsung tidak menggunakan ruang ini untuk mencabar kepimpinan Perdana Menteri secara sah dan demokratik.
Sekiranya, benar PN-Pas mendakwa kerajaan ini lemah, tidak mampu memulihkan ekonomi dan menyusahkan rakyat, kenapa mereka tidak berani mengusulkan undi tidak percaya di Parlimen?
Atau sekurang-kurangnya mengemukakan Kertas Putih Ekonomi Alternatif bagi menunjukkan keupayaan mereka sebagai kerajaan menunggu?
Jawapannya mudah: mereka tidak punya kekuatan moral, intelektual dan politik untuk memimpin negara.
2) “Turun Anwar” – Himpunan yang ditaja kekecewaan dan dendam politik
Kenyataan Datuk Seri Hamzah Zainuddin bahawa kononnya “rakyat dan NGO mendesak himpunan ini” adalah pembohongan politik.
Rakyat mana? NGO mana? Tidak ada mana-mana gerakan masyarakat sivil utama yang mengesahkan keterlibatan mereka.
Apa yang wujud hanyalah segelintir gerakan berkepentingan sempit yang menjadi alat politik Pas-PN, sama seperti mereka memperalatkan agama untuk memecah-belahkan umat Islam selama ini.
Rakyat Malaysia, pasca-pandemik dan dalam fasa pemulihan ekonomi, tidak berminat menyertai himpunan penuh kebencian tanpa hala tuju.
Mereka lebih tertarik kepada kestabilan, peluang pekerjaan, jaminan sosial, dan pertumbuhan ekonomi – bukan mainan politik samseng jalanan yang diwarisi daripada budaya politik Mahathirisme dan Langkah Sheraton.

3) Prestasi ekonomi semasa Malaysia pertengahan 2025: Fakta dan data sahih
Sekiranya naratif pembangkang kononnya rakyat sengsara dan ekonomi hancur mahu diyakini, maka kita harus menilainya berasaskan data ekonomi yang sah dan terkini, bukan propaganda jalanan:
✅ Pertumbuhan KDNK (GDP)
- Suku Pertama 2025: KDNK Malaysia berkembang sebanyak 4.4% (YoY), disokong oleh penggunaan domestik, pelaburan awam, serta eksport yang bertambah.
- Suku Kedua (Anggaran Awal): Diunjurkan mencapai 4.5%, menunjukkan kesinambungan pertumbuhan mantap. Ini meletakkan Malaysia dalam kalangan negara ASEAN dengan pertumbuhan sederhana stabil meskipun ketidaktentuan global.
✅ Pelaburan Langsung Asing (FDI)
- Suku Pertama 2025: FDI masuk berjumlah USD 3.69 bilion (sekitar RM 15.6 bilion), naik berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
- Jumlah Pelaburan Diluluskan (Q1 2025): RM 89.8 bilion, dengan FDI menyumbang RM 60.4 bilion, khususnya dari Singapura, Amerika Syarikat, dan China.
- Ini jelas menunjukkan keyakinan pelabur asing terhadap pentadbiran ekonomi Kerajaan Perpaduan.
✅ Kadar inflasi / Kos sara hidup
- Inflasi Jun 2025 (CPI): Inflasi keseluruhan (headline) adalah 1.1%, menurun daripada 1.2% pada Mei. Bacaan ini antara terendah di rantau Asia Tenggara, mencerminkan kawalan harga dan dasar subsidi bersasar yang berkesan.
- Inflasi Teras (Core Inflation) kekal sekitar 1.9%, jauh lebih rendah berbanding zaman pentadbiran PN ketika inflasi melonjak di atas 4% (2021–2022).
✅ Pasaran buruh dan kadar pengangguran
- Kadar Pengangguran Jun 2025: Turun ke paras 3.2%, terendah sejak pandemik COVID-19, dengan penciptaan lebih 400,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh 18 bulan pertama pentadbiran Malaysia MADANI.
✅ Dasar monetari dan rizab negara
- OPR (Overnight Policy Rate) diturunkan ke 2.75% oleh BNM pada Julai 2025 untuk menyokong pertumbuhan.
- Statutory Reserve Requirement (SRR) juga diturunkan ke 1.0%, menyuntik kecairan sebanyak RM 19 bilion ke dalam sistem perbankan.
- Rizab Antarabangsa Malaysia kekal kukuh pada USD 114 bilion, membuktikan kestabilan sektor kewangan negara.

4) Mahathir, Mahiaddin, Hadi dan gerombolan Sheraton sebenarnya gagal
Pas dan Bersatu bukanlah penyelamat rakyat. Mereka adalah pelanjut kepada kegagalan lampau:
- Kerajaan PN pimpinan Mahiaddin (2020–2021) menyaksikan ekonomi menguncup -5.6%, paling buruk dalam sejarah sejak Krisis Kewangan Asia.
- Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang diketuai Mahiaddin selepas itu tidak menghasilkan sebarang pelan pemulihan ekonomi yang berkesan.
- Haji Hadi pula gagal memimpin negeri seperti Kelantan, yang terus kekal sebagai antara negeri termiskin di Malaysia – gagal menyediakan air bersih, pelaburan dan peluang pekerjaan.
Himpunan “Turun Anwar” ini adalah residu dendam politik dan kekecewaan dari kelompok yang gagal mendapat sokongan rakyat dan Parlimen.
5) Rakyat bersama Malaysia MADANI bukan Pas-PN
Majoriti rakyat Malaysia hari ini sedar:
Kerajaan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim adalah kerajaan yang berusaha menegakkan integriti, menstabilkan ekonomi dan menjadikan Malaysia kembali dihormati di pentas antarabangsa.
Pas-PN boleh terus bersorak di jalanan, tetapi rakyat melihat kepada hasil. Mereka memilih kestabilan, bukan konfrontasi. Mereka mahukan pemulihan, bukan polemik. Mereka mahukan keadilan sosial, bukan perpecahan kaum dan agama.
Penutup: Fakta lawan fitnah
Himpunan “Turun Anwar” bukan suara rakyat. Ia suara kecewa kelompok yang sudah ditolak di Parlimen dan di hati majoriti rakyat Malaysia.
Aksi ini mencerminkan kebankrapan moral, ketandusan idea, dan kerakusan kuasa semata-mata.
Jika benar mereka punya integriti, cabarlah kerajaan di Parlimen. Tapi nampaknya, jalanan lebih mudah bagi mereka yang malas berfikir, dan hanya tahu menyalak – bukan memimpin.
“Kerajaan MADANI belum sempurna, tetapi ia nyata jauh lebih stabil, berdaya tahan dan berintegriti daripada kerajaan pintu belakang Sheraton yang hanya membawa kegelapan dan kehancuran.”
Adakah berita Buletin Utama dan Astro Awani pada jam 9 malam 26hb Julai 2025 akan berlaku pengumuman tergempar bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turun dan akan meletak jawatan? Sama-sama kita nantikan.
*DR SHAHNOR BASRI merupakan Felo Utama Akademi Sains Islam, Jordan.