Saman fitnah gagal, penganalisis pro-Pas diarah bayar RM13,000 kepada anak Salahuddin

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah menolak saman fitnah yang difailkan oleh penganalisis politik pro-Pas, Dr Kamarul Zaman Yusoff, terhadap pemimpin muda AMANAH, Siti Fatihah Salahuddin, serta memerintahkan beliau membayar kos sebanyak RM13,000 kepada defendan.

Keputusan Hakim Norakhmar Mohd Sani itu yang dimuat naik menerusi platform e-Review mahkamah hari ini menyatakan bahawa tuntutan difailkan pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) berkenaan tidak diterima.

“… mahkamah atas imbangan kebarangkalian membuat keputusan menolak tuntutan plaintif terhadap defendan dengan kos RM13,000 dibayar oleh plaintif kepada defendan,” menurut petikan keputusan itu.

Tuntutan saman itu berpunca daripada kenyataan balas Siti Fatihah pada 9 Mei 2020 terhadap kenyataan Kamarul bertajuk, “Speaker Dewan Rakyat: Sekali Amanah Selamanya Amanah” pada 8 Mei 2020, yang didakwa Kamarul sebagai berunsur fitnah.

Kamarul antara lain telah mempertikai kredibiliti Tan Sri Datuk Mohamad Ariff dalam membuat pertimbangan dan keputusan di Parlimen memandangkan Setiausaha Sulit kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat ketika itu, adalah anak Timbalan Presiden AMANAH, iaitu Siti Fatihah.

Setelah membaca kenyataan Kamarul tersebut, Fatihah telah membuat kenyataan di Facebook beliau pada 9 Mei 2020 sebagai suatu jawab balas.

Susulan itu, Siti Fatihah iaitu anak kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, menerima writ saman dan pernyataan tuntutan pada 27 Julai 2020 melalui firma guaman Tetuan Nazri Yahya & Co.

Kamarul sebelum itu mengemukakan Surat Tuntutan (LOD) menuntut RM1 juta, sebelum meningkatkan tuntutan ganti rugi kepada RM2 juta dalam dokumen saman.

Peguam Siti Fatihah, Mohd Khainis Yussof, memaklumkan bahawa kenyataan anak bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkenaan bukan bersifat fitnah.

“Siti Fatihah mempunyai tanggungjawab moral dan sosial untuk menerbitkan suatu jawab balas kepada kenyataan plaintif yang mempertikaikan dan mempersoalkan kredibiliti, Tan Sri Datuk Mohamad Ariff.

“Kita berpandangan kenyataan tersebut bersifat kepentingan awam,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.

Siti Fatihah yang juga peguam syarie pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Komunikasi WARDA Nasional, sayap wanita muda Parti Amanah Negara (AMANAH).

BACA JUGA Sanusi, dua isteri dapat RM300, PMX sindir MB Kedah