Mahasiswa IIUM Bangkit Bela Gaza: Isu Kemanusiaan Tak Boleh Lagi Dipandang Sepi

FOTO BERITA: Demonstrasi Aman Solidariti Gaza Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Fountain, Masjid UIAM Gombak, Selangor. 25hb Julai 2025 (Jumaat)

Sekumpulan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini mengadakan satu Demonstrasi Aman Solidariti Gaza bertempat di kawasan air pancut (fountain), Masjid UIAM Gombak, sebagai tanda protes terhadap kekejaman berterusan rejim Zionis dan penderitaan kritikal yang dialami rakyat Palestin.

Demonstrasi yang berlangsung selepas solat Jumaat itu menghimpunkan puluhan mahasiswa yang membawa sepanduk, melaungkan slogan solidariti, serta menyampaikan ucapan kesedaran mengenai situasi kemanusiaan di Gaza. Turut diadakan bacaan doa khas untuk rakyat Palestin yang terkorban dan sedang menderita akibat sekatan kejam yang dikenakan ke atas wilayah itu.

Wakil mahasiswa, Danish Iskandar Supardi, dalam sidang media selepas demonstrasi, menegaskan bahawa lebih 20 rakyat Gaza dilaporkan syahid akibat kebuluran, menandakan tahap kritikal bencana kemanusiaan yang sedang berlaku.

“Isu ini sangat mendesak. Kami tidak boleh berdiam diri apabila rakyat Gaza mati kelaparan, tanpa akses kepada makanan dan perubatan. Demonstrasi ini adalah suara mahasiswa Malaysia yang mahu dunia, khususnya kerajaan dan media tempatan, bertindak,” katanya.

Menurut Danish lagi, solidariti mahasiswa bukan sekadar simbolik, tetapi satu bentuk desakan moral kepada semua pihak berkepentingan untuk menyuarakan keadilan dan hak asasi yang sedang dinafikan di Palestin.

Demonstrasi aman tersebut berjalan lancar dengan pengawasan keselamatan dalaman kampus dan mendapat sokongan pelbagai kelab serta pertubuhan mahasiswa yang prihatin terhadap isu antarabangsa.

Pihak penganjur turut menyeru agar lebih banyak institusi pengajian tinggi di Malaysia menggerakkan solidariti serupa, bagi memastikan isu Gaza terus mendapat perhatian dan tekanan global dapat dikumpulkan untuk menghentikan kezaliman rejim Zionis.

Demonstrasi ini mencerminkan komitmen mahasiswa dalam memperjuangkan isu-isu kemanusiaan sejagat dan menunjukkan bahawa suara anak muda Malaysia tidak akan terpadam dalam mempertahankan maruah Palestin.

Penganjur menegaskan bahawa tindakan mereka adalah selari dengan prinsip keamanan dan hak asasi manusia, serta menyeru seluruh institusi pengajian tinggi di Malaysia untuk bersama-sama memperjuangkan keadilan buat Gaza.

“Kami harap usaha ini sampai ke pihak media dan pihak berkaitan. Solidariti mahasiswa bukan sekadar simbolik, tapi suara kami adalah desakan yang mewakili kebersamaan rakyat Malaysia terhadap penderitaan umat di Palestin,” tambah Danish

Demonstrasi yang berlangsung secara aman itu turut disertai dengan bacaan doa Wehdah, ucapan solidariti, kibar bendera Palestin, mengangkat sepanduk serta laungan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.