Rumah cucu Mahathir disamun, kerugian cecah hampir RM1.8 juta
Kediaman yang didiami cucu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, di Bukit Ledang, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, dilaporkan dipecah masuk mengakibatkan kerugian hampir RM1.8 juta.
Pembantu rumah menyedari jenayah itu pada petang 23 Julai lalu sebelum laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.
Lapor BH memetik sumber, kejadian dipercayai berlaku ketika pemiliknya tidak berada di rumah itu yang hanya didiami oleh pembantu rumah bersama dua pengawal keselamatan.
“Kejadian disedari sekitar jam 3 petang Rabu lalu selepas pembantunya mendapati pintu pagar di bahagian belakang rumah dipotong dan bilik mangsa dimasuki pencuri selepas dia memeriksa barang di dalam bilik.
“Pembantu mendapati sejumlah barang kemas telah hilang dan memaklumkan kepada majikannya sebelum laporan polis dibuat keesokkan harinya,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan ketika dihubungi BH mengesahkan berhubung kejadian.
“Setakat ini, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kerugian dianggarkan bernilai RM1.8 juta iaitu membabitkan kehilangan barang kemas di bilik mangsa.
“Suspek setakat ini masih belum dikenal pasti dan pihak polis masih meneiliti kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di kediaman terbabit,” kata beliau lagi.
BACA JUGA Saman fitnah gagal, penganalisis pro-Pas diarah bayar RM13,000 kepada anak Salahuddin