Pas pilih demokrasi bukan demonstrasi, tak mahu jadi budak guna api bakar rumah sendiri
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pernah menjelaskan pihaknya memilih pendekatan demokrasi yang damai meskipun mengalami kekalahan berulang kali dalam pilihan raya.
Dalam siri Minda Presiden pada 22 Mac 2023, beliau berkata, Pas menolak untuk berdemonstrasi jalanan bersama sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) suatu ketika dahulu.
“Pas tidak menentang demonstrasi secara mutlak. Akan tetapi parti ini tidak menyalahgunakannya sekali-kali laksana kanak-kanak menggunakan api yang boleh membakar rumah sendiri, bukan untuk memasak mahupun mengambil manfaat daripada tenaga dan cahayanya,” kata beliau.
Pendirian Abdul Hadi itu dilihat kembali ditularkan warganet ketika pembangkang merancang untuk mengadakan perhimpunan Turun Anwar hari ini.
Bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal berkenaan menambah, pihaknya juga menolak sebarang pendekatan politik sempit dalam sesuatu kerjasama yang dijalankan.
“Pas memperkenalkan pendekatan politik Islam yang kaya dengan penulisan para ulama yang mewarisi ilmu para anbiya khususnya dalam politik, termasuk konsep khilafah dan raja berperlembagaan.
“Maka, langkah melaga-lagakan parti ini dengan raja-raja ialah langkah sumbang yang pernah digunakan oleh penjajah dahulu bagi mengekalkan kuasa mereka secara adu domba antara raja dengan raja, rakyat dengan rakyat, dan raja dengan rakyat,” kata Abdul Hadi lagi.
BACA JUGA Rumah cucu Mahathir disamun, kerugian cecah hampir RM1.8 juta