Gerakan Islam seru tolak cubaan rampas kuasa secara tidak demokratik

Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) memandang serius perkembangan politik mutakhir yang memperlihatkan usaha pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan melalui jalan selain daripada proses pilihan raya yang sah.

Menerusi kenyataan bersama, HIKAM yang berpegang kepada prinsip maqasid syariah dan keadilan dalam siasah menolak sebarang bentuk cubaan merampas kuasa secara tidak demokratik.

“HIKAM dengan tegas menolak usaha menjatuhkan kerajaan melalui “pintu belakang”, tekanan politik yang tidak sah atau perancangan seumpama Langkah Sheraton 2.0.

“Peralihan kuasa hanya wajar berlaku melalui pilihan raya yang adil dan bebas, selari dengan prinsip syura dan suara rakyat,” kata HIKAM.

Kenyataan Sekretariat HIKAM itu terdiri daripada Setiausaha Agung Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Azizuddin Ahmad; Setiausaha Agung Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Mohd Hafiz Abd Hamid; Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Aliemran Norasid dan Setiausaha Agung Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN), Mohd Sabbri Md Yudin.

Dalam masa sama, HIKAM juga menegaskan pentingnya kestabilan demi kemajuan rakyat dan negara kerana tindakan yang menggugat kestabilan politik hanya akan mengundang krisis keyakinan, menjejaskan ekonomi dan menambah penderitaan rakyat.

“Islam mengajar agar mengutamakan maslahat ummah dan menolak kerosakan (mafsadah) yang timbul daripada perebutan kuasa tanpa asas demokratik,” tegasnya.

Sehubungan itu, HIKAM menyeru semua parti politik, termasuk pembangkang, untuk memainkan peranan semak dan imbang secara beradab dan bertanggungjawab.

“Sekiranya terdapat kelemahan dalam kerajaan, ia harus ditegur secara hikmah melalui dialog dan mekanisme perundangan yang sah, bukan melalui hasutan atau manipulasi kuasa,” kata HIKAM.

HIKAM turut menyeru semua pihak untuk bersama-sama fokus kepada usaha memulihkan dan mereformasi negara daripada rasuah wang dan kuasa, daripada pengayaan elit tertentu kepada pengagihan kekayaan negara yang saksama kepada rakyat, bagi memacu negara yang lebih sejahtera.

Gerakan Islam itu juga menegaskan bahawa politik Islam adalah menjunjung amanah, bukan merebut kuasa dengan tipu daya.

“Oleh itu, kami menyeru umat Islam dan rakyat Malaysia untuk bersatu mempertahankan kedaulatan demokrasi, menolak ketidaktentuan politik dan terus menyokong agenda pembangunan negara berteraskan prinsip keadilan, perpaduan dan keamanan yang menjadi teras Malaysia MADANI,” kata HIKAM lagi.

BACA JUGA Pas pilih demokrasi bukan demonstrasi, tak mahu jadi budak guna api bakar rumah sendiri